Ewon terima kunjungan hormat Kelab Wanita Ikon Malaysia

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada Kelab Wanita Ikon Malaysia sempena Hari Bertemu Pelanggan, di sini, hari ini.

Advertisements

Kunjungan itu diketuai oleh Pengerusi Kelab yang juga Pengerusi (Ekonomi) Jawatankuasa Tindakan Pemerkasaan Wanita NGO (KPWKM) Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed dan disertai ahli-ahli jawatnakuasa kelab itu.

Ewon berkata, semua cadangan dan pandangan daripada Kelab Wanita Ikon untuk membantu memperkasakan wanita termasuk wanita muda dan ibu tunggal dalam bidang keusahawanan akan diambil perhatian agar dapat dijadikan agenda pembangunan ekonomi dalam program-program kementerian.

“Banyak program keusahawanan khusus untuk wanita di kementerian termasuk penubuhan koperasi wanita-wanita di bawah agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)

“Bagi memastikan golongan wanita berjaya dalam perniagaan, program-program pembangunan keusahawanan perlu bermula daripada peringkat awal iaitu peringkat sekolah lagi, bagi menerapkan ilmu keusahawanan kepada mereka.

“Saya percaya bidang keusahawanan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan wanita yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi,” katanya.

Ewon berkata, bagi membantu golongan wanita yang tercicir dalam pelajaran ataupun yang tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, perlu ada bimbingan dan program bersesuaian.

“Saya mengalu-alukan usaha Kelab Wanita Ikon Malaysia yang mempunyai wawasan yang sama untuk memperkasakan wanita Malaysia dengan mewujudkan peluang-peluang perniagaan, perkongsian bimbingan pengetahuan serta memberi kesedaran dalam keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Sementara itu Normaziah berkata, Kelab Wanita Ikon Malaysia ditubuhkan pada 2015 bertujuan membangunkan dan memperkasakan wanita di seluruh negara tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, kelab itu yang kini mempunyai lebih 3,000 ahli di seluruh negara mengadakan pelbagai program untuk membantu wanita dalam bidang perniagaan.

“Kita bagi wanita-wanita peluang perniagaan dan mereka perlu ada pengetahuan mengurus perniagaan agar lebih berdaya saing.

“Oleh itu kami berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar lebih ramai wanita dapat kita bantu,” katanya.

Normaziah berkata, Kelab Wanita Ikon merancang melaksanakan banyak program antaranya Jelajah Ikon Menangani Masalah Psikososial Wanita dan Belia pada Oktober dan November ini.

“Kita merancang untuk melaksanakan program ini di enam negeri iaitu Sabah (Universiti Malaysia Sabah), Sarawak (Universiti Teknologi Mara (UiTM)), UiTM Kedah, UiTM Kelantan, UiTM Selangor dan UTM Johor,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles