KOTA KINABALU – Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dengan menerima pengiktirafan daripada Malaysia Institute of Accountants (MIA) menerusi Anugerah MIA National Accounting Student Excellence Award 2022.
Shathiswaran S. Rajagopal, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perniagaan (FPEP) UMS menerima anugerah berkenaan sempena MIA International Accountants Conference (MIAC) 2023 yang dianjurkan pada 13 hingga 14 Jun 2023 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Anugerah tersebut menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan.
Shathiswaran ketika dihubungi meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas anugerah yang diterimanya.
“Menerima anugerah ini merupakan detik paling membanggakan dalam perjalanan pengajian saya. Saya berasa sangat bertuah menerima penghormatan ini.
“Saya juga percaya anugerah ini akan dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk saya di alam pekerjaan kelak.
“Saya juga bangga kerana dapat membawa nama UMS ke dalam dunia perakaunan di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Beliau yang berasal dari Kampar Perak kini sedang menjalani latihan praktikal di Syarikat Baker Hughes Malaysia sebagai Reporting & Statutory Intern selama 6 bulan.
“Saya berharap lebih ramai pelajar akan cuba mempraktikkan keseimbangan dalam
bidang akademik serta penglibatan kokurikulum serta mengambil masa cuti semester untuk menjalani latihan industri secara sukarela (voluntary internship) untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran insaniah”.
“Pencapaian akademik semata-mata tidak akan membawa kita pergi lebih jauh, apa yang lebih penting adalah kebolehan berkomunikasi yang mampu ditimba daripada penglibatan dalam kokurikulum dan kesukarelawan,” jelasnya.
Selain itu, UMS dalam kenyataan menjelaskan anugerah tersebut diberikan kepada pelajar terbaik bagi universiti tempatan yang diiktiraf di bawah Akta Akauntan 1967, sekali gus mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan.
Selain pengiktirafan di bawah Akta Akauntan 1967, program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian UMS juga diiktiraf oleh beberapa badan perakaunan profesional termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).