SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru agar pentadbiran kerajaan negeri Selangor terus dipertahankan, disebabkan prestasi dan komitmen yang telah ditunjukkannya dalam membantu pembangunan negara.
Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata ini kerana Selangor mempunyai potensi yang baik dan berperanan penting dalam mempertahankan induk serta kekuatan ekonomi negara.
“Tengok pada prestasi Selangor, ia boleh lagi diangkat. Selangor mempunyai peranan penting dalam pertahankan induk dan kekuatan ekonomi negara, sebab itu ramai orang yang nak rampas. Jadi jangan bagi peluang kepada mereka..,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Selangor yang dihadiri kira-kira 1,500 penjawat awam, di sini hari ini.
“Saya betul-betul mengharapkan saudara-saudara di Selangor, kerana Selangor ini kubu kita, Selangor kubu Kerajaan Perpaduan dan untuk apa sokong kalau setakat kekalkan kerajaan yang ada – tidak. Kita sokong kerana kita tahu prestasinya dan komitmen untuk menyelamatkan negara,” katanya.
Selangor merupakan antara enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi selain Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
Anwar seterusnya memuji prestasi pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari selama tempoh lima tahun ini yang baik, namun beliau sentiasa memberi teguran kepadanya agar tidak berada dalam keadaan selesa dalam mentadbir negeri.
“Saudara Amirudin menunjukkan kesungguhan, prestasinya baik, walaupun saya sebagai abang sentiasa beri teguran dan sentiasa tidak berpuas hati. Ini penting kerana kita mahu mengangkat martabat, harkat, darjat negeri dan negara.
Kepada penjawat awam negeri, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Selangor sebagai antara negeri yang menunjukkan kemajuan yang terbaik, dan pencapaian itu sepatutnya perlu dipertingkatkan.
”Maknanya walaupun sudah baik, kita mahu prestasi ini bertambah baik supaya boleh jadi contoh (kepada negeri lain),” katanya.
— BERNAMA
Jangan beri peluang untuk Selangor dirampas – Anwar
Advertisements