KOTA KINABALU – Penampilan beberapa pemimpin utama Parti Warisan Sabah (Warisan) dan KDM pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Umno Sabah di sini hari ini menguatkan lagi desas-desus kedua-dua parti itu mungkin bekerjasama untuk “bertarung” dengan GRS pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Antara pemimpin Warisan yang hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Datuk Jaujan Sambakong, Setiausaha Agung Datuk Loretto Padua, dan ADUN Darau Datuk Azhar Matussin manakala KDM diwakili timbalan presiden Datuk Wetrom Bahanda.
Ribuan penyokong, pemimpin dan ahli UMNO menghadiri majlis tersebut, termasuk presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang diadakan di Bangunan UMNO Sabah, Karamunsing dekat sini.
Sementara itu, Jaujan berkata Warisan berharap kerjasama politik itu akan menjadi kenyataan, sambil menegaskan bahawa ia merupakan formula terbaik menstabilkan negara, khususnya di Sabah.
ADUN Sulabayan itu berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengenai perbincangan antara Umno dan Warisan ke arah pembentukan kerjasama bagi menghadapi PRN yang akan datang.
“Seperti yang pernah Presiden (Warisan) kami (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) katakan sebelum ini, kami terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Kami tidak menentang (kerjasama dengan Umno),” katanya.