Kaamatan Perpaduan Gabungan 8 Kampung di Penampang Meriah

PENAMPANG : Seiring dengan semangat perpaduan dalam konteks Malaysia Madani yang bertunjangkan sikap saling menghormati dan meraikan kepelbagaian kaum dan agama, penduduk sebuah kampung di sini mengambil inisiatif menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan yang menggabungkan 8 buah kampung, semalam.

Advertisements

Penganjurannya bertujuan memperkasakan perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk melalui platform yang lebih santai, berpaksikan perayaan masyarakat etnik Sabah.

Perayaan Tadau Kaamatan Perpaduan gabungan 8 buah kampung ini dirasmikan
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick di Mini Dewan Raya Terbuka Kampung Dungkahang di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang.

Sambutan Pesta Kaamatan ini melibatkan gabungan 8 buah kampung di Penampang iaitu Kampung Dungkahang, Penampang Proper, Dahab, Kambau, Tanaki, Nampasan, Dambai dan Kionggu.

Menurut pengerusi penganjur, Vitalis Gondipon, sebelum ini perayaan Pesta Kaamatan diadakan setiap tahun di Kampung Dungkahang namun hanya membabitkan kampung berkenaan sahaja.

“Namun tahun ini berbeza kerana kami menggabungkan 8 buah kampung di mana ketua kampung di setiap satu daripada 8 kampung yang terlibat menjadi penasihat perayaan Pesta Kaamatan kami.

“Ini adalah untuk memupuk perpaduan antara penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di sambutan Pesta Kaamatan gabungan 8 kampung berkenaan, semalam.

Menurut Vitalis, matlamat penganjuran program ini juga adalah selaras dengan (hasrat) kerajaan pada masa kini yang menekankan nilai perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Jadi kami pada masa ini menggabungkan 8 kampung untuk menganjurkan Kaamatan kami untuk tahun 2023 di mana kami dapat memperlihatkan perpaduan sedang berjalan bersama-sama dengan penduduk penduduk yang di sekitar sini, di mana mereka semua komited dan memberikan sokongan yang sungguh padu untuk menjayakan Kaamatan pada hari ini.

“Dan ini menjadi batu loncatan kepada kami bermula pada tahun ini untuk menganjurkan perayaan Kaamatan gabungan pada tahun yang akan datang,” katanya.

Pelbagai acara dianjurkan termasuk pertandingan sukan tradisi, masakan tradisi, ratu Pesta Kaamatan atau Unduk Ngadau serta pertandingan menyanyi atau Sugandoi selain cabutan tiket bertuah dengan hadiah utamanya, peti televisyen berukuran panjang 70 inci.

Menurutnya, penganjuran Pesta Kaamatan Perpaduan Gabungan 8 buah kampung ini juga bertujuan memastikan generasi muda tidak lupa asal-usul nenek moyang mereka.

Sebaliknya, generasi muda diharap dapat mempelajari dan memartabatkan keaslian serta keunikan budaya dan tradisi masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) pada masa akan datang agar kekal terpelihara dan tidak pupus ditelan zaman ketika dunia menjadi semakin moden.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles