SANDAKAN: Konsep rumah terbuka semasa perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri merupakan satu landasan untuk mengukuhkan lagi ikatan muhibah, persefahaman, toleransi dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata konsep rumah terbuka adalah amat unik dalam pelbagai cara termasuk membantu masyarakat Malaysia memahami amalan agama dan kebudayaan masing-masing.
“Amalan rumah terbuka menjadi satu wadah untuk memupuk persefahaman, keharmonian dan saling menghormati antara sesama rakyat berbilang kaum tanpa mengira ideologi politik,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Libaran menjelaskan rumah terbuka akan lebih bererti sekiranya kita bukan hanya membuka rumah tetapi turut membuka hati kita.
“Jika kita membuka rumah dengan menerima tetamu tanpa mengira siapa, kaum dan agama, ia akan menjadi wadah yang bermakna untuk memupuk perpaduan
“Apa yang penting, hari raya menjadi signifikan bukan kerana pelbagai hidangan yang dijamu, tetapi ia telah memberi kesempatan untuk kita bertemu dan bersalaman bagi memperbaharui hubungan bersama kenalan lama dan menjalinkan persahabatan dengan yang baharu.
“Peluang berinteraksi ketika perayaan ini dapat membantu mengukuhkan persahabatan dan persefahaman antara pelbagai kaum yang berkunjung ke rumah terbuka ini,” katanya
Suhaimi berkata pertemuan mesra seperti itu akan memberi sumbangan yang amat bermakna kepada keharmonian kaum di negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya, serta membantu merangsang aspek positif masyarakat berbilang bangsa di Malaysia selain mengukuhkan perpaduan negara.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2023 dikediamannya Adelia House Taman Sejati Ujana Fasa 2, kelmarin.
Lebih 5 ribu pengujung menghadiri majlis terbuka itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat Datuk Frankie Poon, ADUN Elopura Calvin Chong, ADUN Sungai Manila Moktar Ingkat, Naib Ketua UMNO Libaran Datuk Salzo Asa, Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Sungai Sibuga Datuk Amirshah Yakob, Pegawai Pembangunan Masyarakat Karamunting Datuk Chew Kok Who, ketua-ketua serta pengerusi persatuan masyarakat Cina dan pemimpin masyarakat.