SANDAKAN: Naib Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Salzo Asa menyeru kepada umat Islam agar melipatgandakan amalan di samping beramal soleh di bulan Ramadan ini.
“Pahala begitu besar sekiranya ummah memperbanyakkan amalan mereka. Amalan yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadan ini sudah pasti akan mendapat keberkatan asalkan setiap umat Islam tabah dalam menghadapi setiap dugaan dan rintangan yang datang”, katanya.
Beliau menggesa umat Islam agar merebut ruang dan peluang yang diberikan kepada mereka dengan melaksanakan segala apa yang disediakan dalam bulan Ramadan ini.
“Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadan akan datang,” tegasnya.
Salzo berkata demikian pada majlis berbuka puasa di kediaman Ketua UMNO Cawangan Singgah Mata, Ambun Sait di Batu 7, kelmarin.
Beliau juga turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf yang hadir pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Salzo berkata majlis berbuka puasa yang dianjurkan ini akan terus menjadi platform perpaduan rakyat berbilang kaum.
“Ini lah keunikan yang harus diraihkan bersama , selain menjadi platform untuk menjalinkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, memperkukuhkan persaudaraan dan semangat silaturahim antara umat Islam”, katanya.
Beliau berkata di bulan Ramadan al- Mubarak yang penuh berkat ini, marilah kita sama-sama mengukuhkan perpaduan dan meningkatkan amalan di samping sentiasa bersyukur dengan nikmat kehidupan hari ini.
“Bagaimanapun, jangan kita lupa terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya atau OKU, anak-anak yatim, warga emas dan mereka yang daif untuk kita bantu seadanya di bulan mulia ini,” jelasnya.