Kerajaan Negeri disarankan teliti kewajaran guna pakai peruntukan undang-undang anti-lompat peringkat nasional

Oleh Jonnybone Kurum, ADUN TELUPID

Advertisements

KOTA KINABALU: Pertama, secara prinsipnya, perluasan peruntukan undang-undang berkaitan anti-lompat pada kadar segera adalah amat dipersetujui sebagai satu reformasi dan pengukuhan kepada pelaksanaan sistem demokrasi di Sabah.
Kedua, kita bersyukur kerana hari ini hampir semua pihak di Sabah menyokong pelaksanaan peruntukan undang-undang anti-lompat di Sabah. Ini termasuk pihak yang pernah ’menjadi mangsa’ dan pihak yang pernah ’mendapat manfaat’ daripada pelbagai bentuk ’lompatan politik’, sebagaimana Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dan Parti Warisan sendiri pernah ’memanfaati lompatan’ untuk merampas Kerajaan Negeri pada bulan Mei 2018. Kerajaan Negeri pimpinan beliau dahulu dibentuk setelah menerima lompatan ADUN-ADUN lawan daripada Barisan Nasional (BN).
Sebelum membawa Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan anti-lompat ke DUN, Kerajaan Negeri disarankan agar meneliti segera kewajaran mengguna pakai sepenuhnya peruntukan undang-undang anti-lompat di peringkat nasional untuk perluasan ke peringkat negeri.
Antara perkara yang perlu dikaji adalah takrifan dan bentukan tindakan yang dikategorikan sebagai melompat parti yang membawa kepada pengguguran status ADUN.
Sebagai contoh, adakah keputusan seseorang ADUN yang tidak keluar parti tetapi tidak bersetuju dengan keputusan pemimpin parti dalam sesuatu perkara yang melibatkan urusan DUN boleh dianggap sebagai ’melompat’.
Sebagaimana yang berlaku kepada beberapa ADUN BN di Sabah kini. Mereka bertanding atas tiket BN dan menang menentang Warisan, namun dipaksa oleh pemimpin parti terlibat menukar Ketua Menteri dengan calon Ketua Menteri yang mereka tidak persetujui dari parti yang mereka lawan. Adakah tindakan mereka untuk tidak mengikuti arahan pemimpin parti tersebut boleh dianggap sebagai ’melompat’, sedangkan sejak dari awal semasa pilihan raya pengundi juga memilih mereka bukan sahaja atas faktor parti, tetapi atas faktor menolak parti lawan.
Atas sebab itu, peruntukan undang-undang berkaitan anti-lompat perlu mengambil kira pelbagai faktor. Asasnya adalah komitmen kepada sistem demokrasi dan keperluan untuk mengimbangi di antara faktor keputusan parti dan sentimen pengundi. Undang-undang anti-lompat juga perlu dielakkan menjadi alat untuk pemimpin parti membelakangkan nilai dan norma demokrasi itu sendiri.
Sehubungan itu, adalah penting Kerajaan Negeri segera membuat sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh (stakeholders) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sebelum RUU berkaitan anti-lompat dibawa ke DUN Sabah tahun ini juga.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles