Pemuda PBS Matunggong bertekad bantu tawan semula Parlimen Kota Marudu

MATUNGGONG: Pergerakan Pemuda Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Matunggong bertekad untuk menebus kekalahan parti di parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Advertisements

Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian PBS Matunggong, Kissey Andrew berkata, kekalahan parti pada PRU lepas adalah kekalahan yang luar biasa pernah berlaku terutama sekali di kawasan N5 Matunggong.

“Memang agak perit untuk ditelan tetapi ianya sudah pun berlalu. Kita akur dengan keputusan tersebut dan kita perlu menumpukan perhatian sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

“Kekalahan itu tidak akan melemahkan semangat kami untuk terus berjuang dan kami di Pergerakan Pemuda Bahagian akan menggandakan usaha, komitmen dan terus bekerja untuk mengembalikan kepercayaan para pengundi terutama sekali golongan muda agar terus bersama-sama dengan kita untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Banyak perkara yang perlu dirancang dan diperhalusi untuk menarik perhatian golongan muda dan inilah yang dititik beratkan oleh Pergerakan Pemuda Bahagian pada masa ini dan seterusnya. Kami tahu bukan senang untuk melaksanakan tugas ini namun kita akan terus berusaha keras dan ini memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya pada Persidangan Pergerakan Pemuda PBS N5 Matunggong di sini pada Sabtu.

Kissey berkata, Pergerakan Pemuda Bahagian akan menjadikan media sosial terutama sekali Facebook sebagai platform untuk menyalurkan maklumat terutama sekali kepada golongan muda mengenai parti dari segi pembangunan, kebajikan, khidmat masyarakat dan yang paling penting sekali mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini selain sumbangan dan kesungguhan pemimpin parti dalam perjuangan asal menuntut hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 yang sudah menampakkan hasilnya ketika ini, tambahnya.

“Terima kasih Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Penasihat Perdana PBS dan Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, Presiden PBS serta pemimpin parti kita yang lain termasuk Ketua Bahagian Matunggong, Datuk Julita Majungki sendiri yang sudah berkorban dan berjuang dalam hal ini,” ujarnya lagi.

Selain itu katanya, Pergerakan Pemuda akan terus peka kepada isu-isu semasa yang dimainkan oleh pihak lawan.

“Kita akan mempertahankan kepimpinan serta parti kita sekiranya diserang dan membalas secara profesional beserta fakta. Terima kasih kepada Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda, Prisly dan team beliau yang sudah banyak membantu dalam perkara ini. Kita akan terus aktif dalam media sosial begitu juga di lapangan,” kata Kissey, sambil menyeru semua ahli jawatankuasa (AJK) Pergerakan Pemuda Bahagian agar meneruskan usaha mendekati dan menyantuni belia di kawasan masing-masing.

“Kita selami hati dan kehendak mereka kerana merekalah penentu kepada kemenagan kita pada pilihan raya kelak,” katanya, sambil menyatakan keyakinan mereka terhadap Julita untuk terus menerajui kepimpinan PBS di N5 Matunggong.

Pergerakan Pemuda Bahagian akan terus menyokong penuh kepimpinan Julita sebagai wakil rakyat di kawasan dan seterusnya calon PBS/GRS pada PRN yang akan datang, tambah Kissey yang juga Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) DUN Matunggong.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles