SANDAKAN: Seramai 565 pelajar dari 10 Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok dalam Parlimen Libaran menerima sumbangan Ramadan pada Program Nuzul Al-Quran Bersamaan 17 Ramadhan 1443H di Masjid Darul Aman Kampung Gum-Gum, pada petang Sabtu.
Sumbangan berupa wang tunai itu adalah sumbangan peribadi Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir yang dianjurkan oleh Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi Sandakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat P.184 Libaran dan UMNO Bahagian Libaran.
Suhaimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran turut menyampaikan sumbangan kepada Mudir Tahfiz dan Sekolah Pondok.
Pada majlis yang sama, Suhaimi turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 100 orang golongan asnaf termasuk warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.
Masjid Darul Aman Kampung Gum-Gum menerima sumbangan zakat, kurma dan sejadah duduk yang disampaikan sendiri oleh Suhaimi.
Suhaimi berkata program seumpama ini merupakan inisiatif dalam membantu golongan asnaf dan pelajar tahfiz sempena bulan Ramadhan ini.
“Perhimpunan sekolah pondok dan tahfiz ini hanya melibatkan 10 buah sekolah yang terletak dalam Parlimen Libaran”, katanya.
Beliau memberitahu perhimpunan ini akan diperluaskan lagi tahun akan datang dengan membabitkan sekolah pondok dan tahfiz dari luar Parlimen Libaran.
Suhaimi turut berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah di masjid berkenaan.