SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee bersama ibunya, Datin Florence Wong, ahli keluarga, ahli-ahli parti DAP dan rakan terdekat menghadiri upacara peringatan ulang tahun keempat kematian ayah Vivian, Mendiang Datuk Stephen Wong yang juga mantan Ahli Parlimen Sandakan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Kristian, Batu 12, Sandakan, pagi tadi.
Stephen yang juga mantan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac 2019 di Kota Kinabalu.
Pemergian beliau yang mengejutkan juga amat dirasai penduduk di Sandakan.
Hadir sama pada upacara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe.
Phoon turut berkongsi mengenai apa yang telah berlaku sepanjang pemergian Stephen dimana Vivian juga telah berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Sandakan dan dipilih oleh rakyat pada Pilihanraya Umum November tahun lepas.
Manakala Vivian berkongsi betapa dia dan keluarganya merindui mendiang bapanya selain keluarga mereka juga kini sudah menambah ahli baharu iaitu cucu Stephen.
Luah Vivian kepada ayahnya, selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, ia sekali lagi kembali kepada kerajaan pusat dalam bentuk kerajaan perpaduan.
“Walaupun prosesnya penuh dengan liku-liku, kita masih terus berpegang kepada agenda reformasi, dan kami akan terus berpegang pada kehendak rakyat.
Saya akan berjuang untuk Sandakan dan berusaha untuk membawa lebih banyak pembangunan,” janjinya.
Perletakan jambangan bunga dan doa juga diadakan sebagai simbolik kepada upacara berkenaan.