SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir membangkitkan isu pengusaha bas mini yang terjejas ekoran kewujudan aplikasi grab, mycar dan maxim.
“Seiring dengan kepesatan teknologi, wujud pelbagai aplikasi pengangkutan awam seperti Grab, Mycar dan Maxim yang akan memberi kemudahan kepada pengguna untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
“Namun begitu, di parlimen Libaran penggunaan bas mini masih menjadi pilihan utama rakyat untuk ke bandar Sandakan,” katanya ketika Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat , kelmarin.
Suhaimi merasakan pengusaha bas mini ini seharusnya dibantu untuk memastikan kelangsungan operasi syarikat-syarikat bas mini ini.
“Justeru itu melalui peruntukan sebanyak RM 11.4 juta dalam tahun 2023 dalam butiran Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) , saya ingin mengetahui apakah terdapat sebarang inisiatif pihak kementerian dalam membantu pengusaha-pengusaha bas mini yang terganggu hasil pendapatan mereka
akibat kewujudan aplikasi pengangkutan awam itu,” katanya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Libaran ini turut membangkitkan isu kenderaan berat atau lori tidak memiliki tempat parkir khas yang mewujudkan ketidak keselesaan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Menerusi peruntukan sebanyak RM6.87 juta pada tahun ini, adakah Kementerian Pengangkutan akan mengambil inisiatif bagi bekerjasama dengan syarikat-syarikat lori dalam Parlimen Libaran untuk mewujudkan parkir khas bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Libaran,” tegasnya.
Dalam perbahasan itu juga, Suhaimi sekali lagi membangkitkan isu tiket kapal terbang yang mahal ke Sabah dan Sarawak.
“Isu tiket kapal terbang yang mahal ketika musim perayaan bukanlah perkara baharu. Isu ini sering dihadapi oleh golongan perantau Sabah dan Sarawak setiap tahun,” katanya.
Beliau melihat menjelang tiba waktu perayaan seringkali berlaku peningkatan harga tiket penerbangan dua tiga kali ganda berbanding tiket pada hari biasa.
“Apabila perkara ini berlaku ianya sudah tentu akan membebankan para perantau dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan bersama keluarga.
“Saya merasakan isu ini seolah-olah tidak mendapat perhatian yang serius oleh pihak Kementerian Pengangkutan bagi mengatasi masalah ini,” tegasnya.
Suhaimi sebelum ini juga telah membangkitkan isu sama yang membebankan pelajar B40 Sabah ketika cuti persekolahan dalam bahas belanjawan 2023 pada 2 Mac lepas.
Beliau mencadangkan kepada pihak kementerian mencari solusi yang terbaik bagi mengatasi isu ini dengan mengadakan perbincangan bersama syarikat pengendali penerbangan bagi mewujudkan harga siling tiket penerbangan terutamanya musim perayaan.
Suhaimi turut bertanya apakah jaminan kerajaan mengenai isu harga tiket mahal dan adakan kerajaan memberi perhatian yang serius untuk bertindak sewajarnya menyelesaikan isu ini sebelum menjelang tiba hari raya aidilfitri.