SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk menangani masalah sampah di Kampung Sim-Sim, di sini pada Selasa.
Gesaan itu dibuat selepas beliau turun padang melawat perkampungan air tersebut untuk melihat sendiri masalah sampah yang dihadapi oleh penduduk di situ.
“Masalah sampah ini sudah lama dihadapi oleh penduduk di perkampungan air itu. Sampah dibawa oleh arus pergerakan laut sehingga menjadi longgokan sampah.
“Perkara ini menarik perhatian saya dan pada hari ini, saya bersama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Henry Idol telah berbincang bersama dengan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Dr. Jamili Nais untuk menangani isu yang sudah dihadapi sekian lama oleh penduduk perkampungan air ini,” kata Dr. Joachim.
Dr. Joachim berkata, Sim-Sim berpotensi untuk menarik pelancong untuk datang bagi menikmati makanan laut yang segar.
“Jika masalah ini tidak dibendung, ia akan memberikan imej yang tidak menyenangkan kepada pengunjung yang datang ke restoran di sini,” tambahnya.
Sementara itu, Henry berkata, MPS akan berusaha gigih menangani masalah ini dan salah satunya ialah dengan melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Beliau juga memohon kerjasama penduduk setempat agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
Turut hadir ADUN Tanjung Papat, Frankie Poon Ming Fung serta Pegawai-pegawai kanan KKTP dan MPS.