SANDAKAN: Seorang lelaki Filipina yang dipercayai terjun ke laut dari sebuah feri di sini ketika proses penghantaran warga Filipina pulang ke negara asal pada petang Rabu lepas, ditemukan lemas pada Jumaat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat mangsa dikenali sebagai, Razmel Abdul Rahim, 31, ditemukan oleh pasukan Polis Marin pada 8.39 pagi tadi.
“Mangsa ditemukan di jeti kedua Pelabuhan Sandakan kira-kira 600 meter dari lokasi dia terjun. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Semalam, JBPM menerima panggilan kecemasan kira-kira 10 pagi mengenai seorang penumpang feri secara tiba-tiba terjun ke dalam laut melalui tingkap tingkat empat feri itu pada 6.45 petang Rabu.
Pengurus feri yang menyaksikan kejadian itu, menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan pada 8 malam Rabu dan sepasukan bomba dan penyelamat respons ke tempat kejadian untuk memulakan operasi pencarian.
— BERNAMA
Lelaki Filipina terjun feri semasa penghantaran pulang ditemukan lemas
Advertisements