PNRF UMS Rai Pencapaian Cemerlang Pelajar Non Residen

KOTA KINABALU – Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) buat julung kalinya telah mengadakan satu majlis penghargaan khas untuk meraikan para pelajar non residen yang telah mencapai kejayaan sepanjang tahun 2022.

Advertisements

Menurut Pengarah PNRF, Hasmi Hashim, majlis penghargaan tersebut diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti yang telah diberikan oleh pelajar NR dari aspek mengharumkan nama universiti secara amnya.

“Penghargaan juga diberikan kepada para pelajar yang terlibat dalam program berbentuk pengurusan kepimpinan sahsiah pelajar melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Masih Ada Yang Sayang’ di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu dan juga program ‘Mahasiswa Prihatin’ di SK. Tambulaong, Tuaran.

“Tidak dilupakan kejayaan manis semua atlet pelajar NR yang telah berjaya memenangi pingat dalam sukan yang telah diadakan di peringkat universiti dan juga PARA-SUKMA,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor yang turut hadir pada majlis tersebut turut menyampaikan penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi yang telah disumbangkan oleh para pelajar NR sepanjang tahun lalu.

“Ini akan menyemarakkan lagi semangat siswa siswi yang tinggal di luar kampus untuk terus berusaha melakukan yang terbaik ke arah meningkatkan lagi keupayaan dan pengetahuan serta menerapkan nilai madani dalam kalangan pelajar sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan.

“Selain itu, perkembangan pembangunan sahsiah pelajar ini akan dapat melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, beretika tinggi, berkualiti dan berdaya saing,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut turut diadakan sesi pelancaran buku mewah (Coffee Table Book)‘ ‘Bingkisan Memori dan Harapan’ yang disempurnakan oleh Kasim.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles