Penyertaan EURIE 2023 Platform UMS Teroka Peluang Kolaborasi Akademik Eropah dan Asia

KOTA KINABALU – Penyertaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Eurosian Higher Education Summit (EURIE) 2023 di Istanbul Lutfi Kirdar (ICEC), Istanbul, Turkiye baru-baru ini menjadi platform UMS dalam meneroka peluang kolaborasi akademik bersama institusi dan universiti dari negara-negara di Eropah dan Asia.

Advertisements

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penyertaan UMS dalam persidangan antarabangsa anjuran Erusian Universities Union (EURAS) di Turkiye ini kerana melihat potensi kerjasama yang boleh dijalin dengan universiti lain memandangkan UMS sendiri telah mempunyai kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga buah universiti di Turkiye, iaitu Yildiz Technical University (YTU), Cankiri University dan Marmara University.

“Kerjasama dengan tiga universiti yang dimeterai tahun lalu menyaksikan UMS dan YTU berkongsi Geran Mobiliti Erasmus yang dianggarkan bernilai RM120,000.00 untuk menaja sekurang-kurangnya tiga orang pelajar mobiliti selama satu semester, tiga pensyarah universiti untuk mobiliti akademik, dan tiga staf mobiliti pentadbir.

“Geran yang sama dengan anggaran nilai RM120,000.00 juga dikongsi bagi program mobiliti bersama Cankiri University yang merupakan antara universiti terbaik di Turkiye,” kata Kasim.

Kerjasama tersebut juga katanya turut melibatkan penyelarasan projek penyelidikan bersama dan penganjuran aktiviti pembangunan kokurikulum pelajar seperti persidangan akademik, syarahan, kursus latihan pendek khas, seminar dan simposium.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din memaklumkan, persidangan antarabangsa dan pameran akademik yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan penyertaan 200 pempamer dari pelbagai institusi dan 54 sesi plenari.

Katanya, bagi EURIE 2023, UMS telah melaksanakan langkah awal untuk menjalin kerjasama dengan beberapa universiti.

“Antaranya dengan Universitas Negeri Padang dan Universitas Prasetiya Mulia dari Indonesia, selain UMS turut mengintai peluang kolaborasi dengan universiti dari negara Sudan dan Palestin.

“UMS optimis mampu mengadakan jalinan kerjasama pelbagai bidang dengan universiti yang terlibat dalam acara ini memandangkan sejumlah 320 universiti dan organisasi dari 72 buah negara telah mengambil bahagian dalam acara tahunan ini,” ujar beliau.

Delegasi UMS bagi acara tersebut diwakili oleh Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi dan Timbalan Pengarah PPPG, Dr. Norhuda Salleh.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles