KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mendokong usaha membangunkan Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia selari dengan tuntutan serta kehendak agama.
Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata ia juga menepati halatuju kerajaan negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk membangun negeri Sabah melalui slogan “Sabah Maju Jaya”.
“USIA percaya jika elemen atau objektif mewujudkan Malaysia Madani ini digabungkan dengan prinsip dan halatuju Sabah Maju Jaya, nescaya pembangunan Negara/Negeri Sabah akan dapat dicapai dengan lebih pantas,” katanya.
Sapawi berkata demikian dalam ucapan alu-alunya sempena majlis penangguhan Forum Malaysia Madani – Keharmonian Dalam Kepelbagaian yang disempurnakan Hajiji di SICC, dekat sini hari ini.
Forum tersebut merupakan anjuran bersama USIA dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).
Sapawi berkata objektif utama forum itu ialah melestarikan masyarakat yang berilmu pengetahuan melalui perbincangan ilmiah dan interaksi serta ruang yang selesa bagi mengemukakan saranan dan pendapat tanpa membezakan suku, ras dan agama.
Sapawi berkata forum itu juga bermatlamat untuk menyuburkan masyarakat yang beradab dan berilmu dengan nilai-nilai kemanusiaan bagi menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dan kestabilan negara serta masyarakat.
Menurutnya USIA bercadang untuk menganjurkan Forum Malaysia Madani di enam zon di seluruh Negeri Sabah.
Zon terbabit ialah Zon Tawau, Zon Sandakan, Zon pantai Barat Utara, Zon Pedalaman Atas dan Zon Pedalaman Bawah.
Sapawi berkata penganjuran forum itu akan diadakan secara kolaborasi dengan jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan negeri Sabah.