Bazar Jualan Madani Koperasi dan Usahawan April ini: Ewon

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya merancang melancarkan Bazar Jualan Madani Koperasi dan Usahawan pada April ini bagi membantu kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup.

Advertisements

Beliau berkata, sebagai permulaan inisiatif itu, Bazar Jualan Madani akan diadakan di Perak.

Mengenai cadangan supaya kementerian memperkenalkan konsep kedai runcit setempat melalui kerjasama dengan koperasi, Ewon berkata, penglibatan koperasi dalam aktiviti pemborongan dan peruncitan bermula sejak tertubuhnya The Ulu Langat Malay Co-operative Shop Society, pada 1936 dan juga Malaya Co-operative Wholesale Society, pada 1949.

Katanya, matlamat penubuhan koperasi berteraskan aktiviti pemborongan dan peruncitan ketika itu adalah untuk menstabilkan harga barangan keperluan asas dan mengawal pembekalan barangan makanan terutamanya ketika negara menghadapi zaman darurat.

“Oleh itu, berlandaskan objektif asal penubuhan koperasi, kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus memperkasakan penglibatan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan bagi membantu kerajaan menangani isu kenaikan kos sara hidup.

“Sehingga kini, penglibatan koperasi dalam aktiviti pemborongan dan peruncitan terus digalakkan dengan pewujudan sebanyak 2,581 kedai runcit koperasi (Coopmart) yang telah beroperasi di seluruh negara.

“Melalui rangkaian Coopmart ini, anggota koperasi serta masyarakat setempat boleh mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ewon berkata, bagi tahun 2021-2022, rangkaian Coopmart juga terlibat dengan penganjuran Jualan Koperasi Prihatin Rakyat, Jualan Harga Patut Koperasi, Jualan Murah Keluarga Malaysia dan Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa dengan penjimatan harga di antara 15-20 peratus daripada harga pasaran, dengan nilai penjimatan harga mencecah RM9.28 juta.

Mengenai perincian program keusahawanan kementerian yang telah diluluskan di bawah Belanjawan 2023, Ewonn berkata, sebanyak 28 program sedia ada dan baharu yang diluluskan di bawah peruntukan pembangunan kementerian pada tahun ini.

“Antaranya program keusahawanan merangkumi latihan dan bimbingan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

“Dana pembiayaan di bawah TEKUN Nasional sebanyak RM330 juta termasuk RM30 juta untuk Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan RM10 juta bagi pelaksanaan TEKUN Mobilepreneur.
“Program pembangunan kapasiti berstruktur di bawah SME Corp. seperti program Bumiputera Enterprise Enhancement Programme (BEEP 2.0) sebanyak RM30 juta dan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sebanyak RM10 juta,” katanya.

Selain itu katanya sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk program penyediaan ruang niaga di bawah UDA Holdings, bantuan peningkatan akses pasaran melalui Business Exports Program (BEP) di bawah SME Bank RM4 juta, Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) RM10 juta dan Program Pengukuhan Eksport PKS sebanyak RM5 juta oleh SME Corp.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles