SANDAKAN: Kerajaan digesa mewujudkan Kem Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan sebagai usaha kepada pasukan itu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata Batalion 15 PGA Sandakan telah ditubuhkan pada tahun 1992.
“Sejak pasukan ini ditubuhkan, batalion terbabit hanya menyewa rumah kedai bagi menempatkan ibu pejabat mereka sehingga hari ini ,” katanya dalam bahas belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan sudah tiba masanya kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri melaksanakan cadangan bagi pembinaan kem baharu untuk batalion itu dengan cepat mungkin.
Suhaimi memberitahu tapak bagi pembinaan kem ini telah
tersedia, dengan keluasan 100 ekar.
“Tapak cadangan pembinaan kem itu hanya terletak
bersebelahan dengan Pangsapuri Batalion 15 PGA Sandakan di Jalan Sungai Batang Batu 10, Sandakan,” katanya.
Beliau menjelaskan pembinaan kem ini mampu meningkatkan lagi khidmat pasukan terbabit kepada masyarakat agar lebih berkesan selain dari menjaga aspek kebajikan warga batalion.
“Ini juga akan mampu meningkatkan kesiap siagaan pasukan dalam menjaga keselamatan negara”, katanya.
Dalam masa sama, Suhaimi turut membangkitkan isu penghijrahan belia ke Semenanjung Malaysia bagi mendapat pekerjaan.
“Isu penghijrahan belia dari negeri Sabah ke Kuala
Lumpur dan bandar-bandar utama di Semenanjung
Malaysia telah berlaku sekian lama.
“Saya meminta kerajaan melalui Kementerian Belia Dan Sukan dan Kementerian Sumber Manusia agar mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan golongan belia,” katanya.
Beliau berkata usaha ini adalah untuk mengelakkan kadar migrasi yang tinggi dalam kalangan belia ke bandar.
“Penyediaan persekitaran yang sesuai seperti menyediakan peluang pekerjaan dan peniagaan kepada golongan itu, antara peranan yang perlu
dilaksanakan segera oleh pihak kerajaan.
“Ini sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan terhadap
tenaga kerja asing,” katanya.