MANILA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik itu selama dua hari, yang berakhir hari ini.
Ewon yang tiba pada Selesa (kelmarin) meluangkan masa melawat Kedutaan Malaysia di Manila seterusnya mengadakan jamuan makan malam bersama pegawai kedutaan Malaysia.
Pada hari ini, beliau bersama Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyambut ketibaan Perdana Menteri yang menaiki pesawat khas.
Anwar menaiki pesawat khas tiba di Villamor Airbase, sebuah pangkalan udara di Manila pada jam 12.50 petang Rabu. Ini adalah lawatan pertama beliau selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Beliau ditemani isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri itu ialah Setiausaha Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan Filipina, Rexlon T Gatchalian yang juga Setiausaha Kabinet, Timbalan Setiausaha Eksekutif, Bianca Cristina Cardenas Zobel, Duta Besar Filipina ke Malaysia, Charles C. Jose dan Wakil Lone District of Pasay City, Antonio G.Calixto.
Anwar akan memulakan lawatan rasmi dengan mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr di Malacanang, yang dilantik pada Jun tahun lalu.