SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong menggesa agar Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dilucut jawatan serta-merta dan memohon maaf atas pengurusan yang gagal dan ketidakcekapan kerja yang menyebabkan penduduk Sandakan masih terpaksa menggunakan dan meminum “air masin” selama hampir tiga bulan.
Selain itu, bekalan air sering terputus di kawasan bandar itu selepas Loji Rawatan Air Segaliud ditutup beberapa kali untuk kerja-kerja pembaikan paip dan berkaitan.
“Sejak akhir November tahun lalu, masalah kualiti air terus berlaku di Sandakan.” Ujarnya.
“Air di setiap isi rumah di Sandakan juga adalah sangat masin.” Tambahnya.
Vivian berkata, ramai yang terkesan dengan hal ini dimana terdapat ramai orang juga telah melaporkan mengalami alahan kulit dan ia juga menyebabkan orang ramai panik serta tidak berdaya melakukan apa-apa kerana hal ini tiada penghujung sehingga kini.
Vivian Wong menegaskan bahawa beliau telah berulang kali bertemu dengan pihak Jabatan Air Sabah (JAS) selepas kejadian air masin pada bekalan air bersih di Sandakan diman beliau berharap pihak JAS akan menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Beliau telah bertanya dan bertemu berkali-kali serta mendapat penjelasan yang tidak terkira banyaknya.
“Tetapi sudah tiga bulan dan masalah sama masih belum selesai dimana kita juga diberitahu perlu menunggu alat ganti dari luar negara untuk pembaikan,” Katanya.
“Sepanjang tempoh ini juga, kita tidak pernah melihat pengarah Jabatan Air Negeri Sabah mengambil apa-apa tindakan untuk menyelesaikan perkara ini seolah-olah tiada apa yang berlaku.” Tambahnya.
Sikap dan amalan seperti ini benar-benar tidak boleh di terima sama sekali kerana kesihatan rakyat penting dan perlu dijaga dijaga dengan sebaiknya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa tugas penjawat awam adalah berkhidmat kepada rakyat dan menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Justeru beliau mahu mereka yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan amanah dan kerajaan perlu kaji semula untuk melantik mereka yang benar-benar berkelayakan menjawat jawatan ini demi untuk penambahbaikan yang diperlukan.
Jelasnya, Pengarah Jabatan Air Sabah tidak seharusnya memikirkan bahawa pengguna di Sandakan adalah dalam keadaan baik-baik sahaja kerana masalah air masin ini sangat serius.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan Sabah mengecualikan warga Sandakan daripada bayaran air sehingga 6 bulan.
“Ini kerana rakyat Sandakan telah membeli air mineral dan minuman sejak beberapa bulan lalu yang menyebabkan beban keluarga yang amat serius dan ini juga kerana kegagalan tanggungjawab Jabatan Air Negeri Sabah yang tidak dapat melaksanakan kerja dengan sebaiknya untuk rakyat,” jelasnya.