KOTA KINABALU: Rakyat Sabah bakal menikmati siaran RTM yang lebih berkualiti apabila kerja-kerja menaiktaraf tiga pemancar Radio siap sepenuhnya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Penyiaran) Putri Joliana Yaacob berkata projek itu sedang dilaksanakan dan dijangka siap tahun ini.
Beliau berkata RTM juga telah
menaiktaraf peralatan radio sistem automasi bagi dua saluran iaitu sabahfm dan sabahvfm.
Putri Joliana berkata menyedari kepentingan sistem penyimpanan berita, RTM juga telah menyiapkan Projek Arkib Digital Berita (Adib) di negeri ini.
Ini bermakna berita-berita RTM di Sabah boleh diakses terus oleh pelbagai bahagian operasi di Angkasapuri dan juga negeri-negeri lain di Malaysia, katanya.
“Ini merupakan antara projek-projek besar RTM untuk kemudahan rakyat Sabah,” katanya.
Putri Joliana berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat strategik kejuruteraan RTM di RTM Sabah hari ini.
Putri Joliana berkata pihaknya turut melawat projek-projek RTM Sabah yang telah dan sedang dilaksanakan itu.
Katanya sempena lawatan itu, pihaknya telah mengadakan program simbolik penanaman pokok di perkarangan Bangunan Kementerian Komunikasi dan Digital cawangan Sabah sebagai tanda sokongan kepada wawasan kerajaan menjayakan kempen menanam 100 juta pokok khususnya di kawasan perkarangan bangunan kerajaan.