SKTS Ke-13 bermula meriah

LAHAD DATU: Sukan Kerajaan Tempatan Sabah (SKTS) Ke-13 bermula meriah di sini kelmarin meskipun diadakan secara sederhana demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Advertisements

Sukan dwi-tahunan yang berlangsung selama lima hari itu dilancarkan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih pada majlis yang diadakan di kompleks Sukan Lahad Datu.

Isnin berkata, SKTS diadakan untuk mengeratkan lagi silaturahim dan kebersamaan di kalangan warga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi sukan.

“Setelah empat tahun ditiadakan ekoran penularan wabak Covid-19, sambutan kali ini berlangsung dalam suasana yang sederhana kerana kita masih perlu mematuhi SOP sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Meskipun begitu, saya percaya, walaupun dalam suasana krisis kesihatan yang masih membelenggu negara, kejohanan SKTS ini tetap meriah dan memberi makna yang istimewa untuk kita semua. 

“Namun, suka untuk saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya apa jua aktiviti sukan yang dilakukan, biarlah ia berpandukan kepada SOP Sukan dan Rekreasi yang sedang berkuatkuasa. 

“Walaupun sudah ada kelonggaran-kelonggaran tertentu, janganlah kita merasa terlalu selesa sehingga leka atau terlupa bahawa kita masih berdepan situasi krisis kesihatan. Jaga diri dan keluarga supaya penularan wabak Covid-19 dapat sama-sama kita hentikan,” katanya.

 Menurut beliau, sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Sukan mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk sebuah pasukan kerja  yang mantap dan jitu.

“Sejak berdekad lamanya, sukan telah mengajar kita untuk menyelami erti perpaduan, bekerjasama dan menanam rasa cinta kepada negara. Sukan telah mengikat kita sebagai bangsa yang tebal dengan nilai-nilai kasih sayang dan menyatukan kita merentasi garis-garis kaum dan agama.

“Jangan sesekali kita mencemarkan keindahan dan kedamaian sukan dengan elemen atau pandangan negatif. Jadikanlah sukan sebagai jambatan untuk kita lebih bersatu padu dan saling memahami. Jadikan sukan sebagai pentas untuk kita samasama mengharumkan nama negara,” kata Isnin yang juda Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias.

Katanya lagi, pencapaian cemerlang atlet negara di sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini merupakan bukti kejayaan Malaysia di arena sukan antarabangsa.
“Semangat seperti ini yang kita perlukan sebagai pendorong kepada pembudayaan dan pembangunan sukan secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi,” tambahnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles