KOTA KINABALU: Potensi muzik yang terpendam di kalangan para pelajar boleh dicungkil dan dipelihara dengan amat baik semasa mereka masih bersekolah.
Oleh itu, bimbingan muzik wajar diberikan kepada mereka sewaktu di peringkat sekolah rendah lagi bagi memastikan kebolehan mereka digilap dengan sebaiknya.
Menyedari perkara itu, SK Kepayan, Sabah telah mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan koir muzik yang bertujuan membudayakan warisan muzik selain melahirkan seorang insan yang seimbang.
Guru Besar SK Kepayan, A Malek bin Mat berkata bagi menyuntik semangat murid-murid sekolah meminati muzik, sekolah berkenaan telah menganjurkan Mini Concert SK Kepayan di dewan sekolah itu malam tadi.
Menurutnya program itu mendapatkan sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada kalangan murid, ibu bapa tetapi juga masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertunjukan mini concert itu.
A Malej turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang berbesar hati menderma secara sukarela bagi membantu meringankan beban kos perbelanjaan kumpulan muzik sekolah itu yang bakal menyertai pertandingan muzik antara sekolah tahun ini.
Menurutnya kos menyertai pertandingan itu agak besar kerana kumpulan muzik itu biasanya dianggotai sekurang-kurangnya 30 murid sekolah.