Kenyataan Media Setiausaha Agung Barisan Nasional Dr Zambry Abd Kadir
KOTA KINABALU: Barisan Nasional Malaysia mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Noor selaku Ketua Menteri Sabah.
Pendirian ini sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya. Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan Sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah.
Barisan Nasional Sabah dipertanggung-jawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan sekaligus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.
Barisan Nasional Malaysia menamakan Datuk Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mewakili UMNO dan Barisan Nasional Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah.