Lichong (dua kanan) bersama Mokhtar (tiga kanan), CEO Malaysia Press Institut (MPI) Datuk Chamil Wariya (kanan) bersama Ketua Persatuan Indonesia Pusat (PWI) Pusat, Atal Sembiring Depari (lima kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Tribun Network, Dahlan Dahi (empat kanan) dan wakil dari Australia, Nelson Yap (enam kiri) serta delegasi lain pada seminar itu.
MEDAN (Indonesia): Industri persuratkhabaran tidak akan berkubur dirempuh gelombang digitalisasi, kata Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui.
Sebaliknya, kata beliau, industri suratkhabar akan kembali berkembang walaupun secara perlahan-lahan.
“Ini berdasarkan dapatan umum dan tinjauan global bahawa suratkhabar tetap menjadi rujukan fakta, kebenaran dan ketepatan,” katanya pada Seminar Antarabangsa ‘Distrupsi digital dan tata ulang ekosistem media yang berkelanjutan sempena Hari Pers Nasional (HPN) di sini hari ini.
Lichong menyertai delegasi Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) pada perhimpunan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia
Delegasi ISWAMI Malaysia seramai 23 orang diketuai oleh Presiden, Datuk Mokhtar Hussain.
HPN Medan 2023 ini akan dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 9 Februari. Ia dihadiri lebih 1,000 wartawan dari seluruh Indonesia.
Lichong yang juga anggota ISWAMI berkata, selain itu surat khabar juga menjadi medium rasmi pemimpin dan kerajaan menyampaikan dasar baharu atau pembaharuan sesuatu polisi.
“Sebagai platform penyampai informasi yang dipercayai, maka saya yakin bahawa surat khabar akan terus kekal relevan di zaman digital ini,” katanya.
Lichong mengakui industri surat khabar global mulai merudum sejak beberapa tahun lalu akibat rempuhan gelombang digital di seluruh dunia.
Katanya, rantau ASEAN tidak terkecuali apabila sejumlah surat khabar terpaksa ditutup sehingga menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.
“Tapi trend kebelakangan ini menunjukkan adanya tanda-tanda pemulihan industri persuratkhabaran, dan saya yakin hasilnya dapat dilihat dalam tempoh setahun dua lagi,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, adalah perlu bagi pemain industri surat khabar untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk, termasuk kandungan (content) bagi memastikan ia kembali menjadi pilihan pembaca.
Menurutnya, usaha mesti dilakukan bagi menarik minat generasi muda membaca versi cetak dan pada masa sama, pemain industri memperkasakan lagi versi epaper.