Vivian mahu pastikan keperluan PPKI Sungai Anib dapat perhatian

SANDAKAN – Pembangunan pendidikan anak-anak berkeperluan khas dan orang kelainan upaya (OKU) yang belajar di sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) amat penting.

Advertisements

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata, pihaknya juga akan terus berusaha memastikan keperluan PPKI di daerah ini antaranya PPKI Sungai Anib 3 akan terus mendapat perhatian yang sewajarnya oleh pihak kerajaan khasnya Kementerian Pendidikan.

“Adalah penting untuk kita terus membantu pembelajaran dan perkembangan anak-anak di PPKI di daerah ini,” katanya.

“Peranan semua pihak turut diperlukan dalam memastikan keperluan mereka dapat diberikan dengan sewajarnya.

Vivian juga menghargai jasa pihak sekolah, guru-guru PPKI dan ibubapa serta semua yang prihatin yang telah memberikan semangat kepada anak-anak sekaligus mampu berdikari dan yakin pada diri mereka berbekalkan modul pendidikan khas yang diberikan kepada mereka.

Pendidikan khas juga antara yang tertakluk dalam dasar pendidikan negara yang mana ia melibatkan hak sama rata untuk semua anak-anak menerima pendidikan dengan sewajarnya dan sifar penolakan pelajar berkeperluan khas ini.

Jelasnya, kini, sekolah kerajaan juga terus menjadi antara yang terbaik dalam memberikan pendidikan khas kepada anak-anak tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Dan Anugerah Tahunan Ke-10 PPKI SK Sungai Anib 3 Dan Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di Dewan Kelab Indah Jaya, Sandakan, pada Khamis.

Seramai 13 murid Tahun 6 PPKI SK Sungai Anib 3 masing-masing lapan murid masalah pembelajaran, lima mempunyai masalah pendengaran dan dua orang murid pendidikan khas inklusif menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Vivian.

Hadir sama, Penolong Pegawai Unit Pendidikan Sektor Pendidikan Khas, Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan, Zakariah Jayari, Penolong Kanan Pentadbiran SK Sungai Anib 3, Asmah Ahmad Amai, Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Sungai Anib III, Shirley Liew dan ibu Vivian yang juga bekas Guru Besar SRK Sung Siew Sandakan, Datin Florence Wong.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian singa, pemberian angpow kepada murid PPKI SK Sungai Anib 3 selain persembahan tarian, pentarama dan lagu daripada murid PPKI sekolah itu.

Vivian juga bangga kerana selain meraih kejayaan di peringkat sekolah dan negeri, murid PPKI juga mampu setanding dengan murid yang lain dan cemerlang di peringkat kebangsaan menerusi penyertaan dalam beberapa program.

Dalam pada itu, Vivian berkata, dalam mendidik anak-anak berkeperluan khas, sudah pasti ada cabarannya.

Bagaimanapun, beliau berharap ibubapa tidak cepat berputus asa tetapi membantu mereka sehingga berjaya.

“Pihak Parlimen Sandakan juga bersedia membantu sekiranya ibubapa inginkan bantuan atau mempunyai masalah berkaitan,” jelasnya.

“Segera maklumkan kepada pihak sekolah dan pihak sekolah akan menghubungi pejabat Parlimen Sandakan dan kita bersedia membuat tindakan susulan,” tambahnya.

Terdahulu, Asmah merakam ucapan terima kasih kepada Vivian, ibubapa dan guru yang terus komited membantu pendidikan murid PPKI sekolah itu.

Selain 13 murid yang diraikan dalam graduasi itu, murid PPKI yang lain turut menerima anugerah terbaik sahsiah diri dan kokurikulum.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles