KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) menyambut baik inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan Perpaduan Persekutuan yang menawarkan hidangan makanan hanya dengan harga RM5 sepinggan.
Sambil menyifatkan inisiatif itu sebagai tepat pada masanya, Timbalan Presiden Pekadin Nailin Gabintal berkata inisiatif serupa wajar diperluaskan ke Sabah.
Sehubungan itu, katanya PEKADIN menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar mengambil pendekatan yang sama demi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40.
“Jelas sekali, inisiatif ini menerima sambutan yang anat menggalakkan di Semenanjung Malaysia, dan mengikut laporan media sosial, rakyat daripada golongan M40 dan T40 juga membanjiri kedai yang menyertai inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Nailin berharap lebih tamai pengusaha restoran di Sabah dapat menyahut gesaan itu demi kebaikan bersama.
Selasa lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makan tengah hari atau makan malam berharga RM5 sepinggan di 15,000 premis menjual makanan yang menyertainya di seluruh negara.
Menu itu terdiri daripada hidangan seimbang yang merangkumi nasi putih, satu pilihan protein sama ada ayam atau ikan, dan sayur yang ditawarkan kepada mereka yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup ketika ini.