Warisan minta Maximus perbetul andaian isu kemaruk kuasa

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) meminta presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili supaya membetulkan andaiannya bahawa Warisan “kemaruk kuasa”.

Advertisements

Ketua Penerangan Warisan Datuk Mohd Azis Jamman berkata sekiranya Warisan kemaruk atau gila kuasa dan membelakangkan prinsip, presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal “mungkin masih lagi Ketua Menteri hari ini”

“Jika sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Warisan boleh menyertai kerajaan PN pada waktu itu dan seterusnya sokong Datuk Seri Ismail Sabri bagi memastikan Shafie kekal berkuasa.

“Namun Warisan memilih untuk mempertahankan prinsip dengan menongkah arus walaupun terpaksa kehilangan kerajaan negeri.

“Warisan bukan parti katak yang lompat mengikut siapa yang berkuasa di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azis menegaskan bahawa parti itu hanya mempersoalkan kesahihan Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dengan mengambil kira kedudukan undang-undang negeri Sabah.

“Warisan tidak berniat alih kuasa pemerintahan negeri Sabah.

“Kami hanya meminta mereka supaya membetulkan masalah perundangan yang dengan jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah.

“Datuk Maximus selaku orang yang faham undang-undang patut jangan butakan mata sebab dia sendiri bersumpah untuk memelihara, mempertahankan, melindungi Perlembagaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata perlanggaran peruntukan Perlembagaan Sabah akan menjadi kes duluan yang menjadi ikutan (precedent) kepada situasi serupa pada masa akan datang.

Azis berkata Perlembagaan Sabah menyatakan Ketua Menteri hendaklah dilantik daripada Ketua Parti kepada parti yang bertanding semasa pilihanraya.

“Hajiji bukan ketua parti walaupun dia sebut dia ketua parti GRS dan Parti GRS adalah gabungan parti-parti. Buktinya, Hajiji sendiri terpaksa ambil alih parti baru untuk jadi ketua. Jika GRS adalah parti, kenapa Hajiji perlu tubuhkan parti baru?.

“Jangan butakan mata hanya kerana ingin kekal berkuasa. Janganlah matlamat menghalalkan cara walaupun terpaksa mencabuli Perlembagaan Sabah.

“Bagaimana membetulkan keadaan.
Mintalah Hajiji dan rakan lain lompat lagi masuk Parti Star dan jadikan Dr Jeffery Kitingan Ketua Menteri sebab Jeffrey adalah ketua parti yang bertanding masa pilihanraya atau meminda Perlembagaan Sabah dengan membatalkan dan mengubah perkataan “ketua parti”. Itulah yang Warisan perjuangkan dan minta diperbetulkan dari awal-awal lagi,” katanya.

Mengenai tindakan UMNO dan PKDM menarik sokongan kepada Hajiji, Azis mengingatkan Maximus bahawa Warisan tidak pernah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

“Kami gembira dan selesa memainkan peranan sebagai pembangkang di Sabah namun berlaku kerengagan hubungan antara GRS dan UMNO. Pergeseran antara GRS dan UMNO atau Hajiji dan Datuk Bung Moktar Radin tiada kena mengena dengan Warisan.

“Penarikan sokongan UMNO dan PKDM terhadap Hajiji adalah masalah rumahtangga gabungan awal PN dan BN di Sabah, maka apa pun persetujuan dan perjanjian mereka dahulu Warisan tidak pernah tahu…itu masalah “perkahwinan” mereka….kenapa salahkan Warisan?,” katanya.

Sementara itu, seorang penyokong PKDM yang tidak mahu namanya disebut berkata PBS seharusnya berterima kasih kepada ADUN Pakatan dan beberapa ADUN UMNO yang telah “menyelamatkan” kerajaan GRS di Sabah dan menasihati Maximus supaya tidak terlalu “cakap besar” melabelkan parti lain sebagai “political bandit” (samseng atau penyamun).

Menurutnya tindakan Maximus itu hanya bertujuan untuk bangkit semula bagi menutup kekalahan teruk PBS di Parlimen Kota Marudu dalam PRU15.

“Saya fikir Maximus tidak ada locus standi melabelkan parti lain Samseng atau penyamun. Tidakkan Maximus sedar, dalam PRN Sabah 2020, PBS bertanding dengan bekerjasama dengan PN. Tetapi PRU15 telah merubah keadaan di mana PH, DAP, BN, GPS, GRS, Warisan, KDM dan beberapa MP bebas kini bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan Persekutuan,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata saranan agar kerajaan Perpaduan di Sabah libatkan parti-parti dalam kerajaan Persekutuan memang wajar dipertimbangkan.

“Tidak elok lah seorang pemimpin politik veteran labelkan parti lain dalam kerajaan Perpaduan Persekutuan sebagai political bandit…hanya parti politik yang takut bayang-bayang atau kehilangan kuasa sahaja yang sanggup berbuat demikian,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles