Sabah Perlu Kepelbagaian Modal Insan Lonjakkan Pertumbuhan Ekonomi

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan kepelbagaian dari segi modal insan bagi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Justeru katanya, pembangunan modal insan di Sabah tidak akan tertumpu dalam satu- satu bidang tertentu sahaja, kerana negeri ini memerlukan kepakaran berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang yang lain.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri memberi keutamaan terhadap aspek pendidikan bagi melahirkan lebih ramai modal insan berdaya saing, berketerampilan dan berkualiti tinggi di negeri ini.
“Ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ yang mana modal insan antara yang diberi perhatian”.
“Atas komitmen itu, kerajaan akan terus menyokong segala usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Sabah dalam meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan serta program berkaitan pembangunan modal insan di negeri ini”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Zon Borneo 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Menurutnya, aspek pendidikan dan modal insan menjadi antara agenda utama yang ditekankan oleh Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan negeri Sabah.
Katanya, modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata, Kerajaan sentiasa prihatin terhadap semua murid dalam menghasilkan generasi baharu yang lebih kuat, tegap dan lebih cerdas serta memastikan mereka mendapat manfaat sepatutnya daripada program susu sekolah yang memberi kebaikan terutama kepada golongan muda.
“Justeru, Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia yang bertujuan memupuk dan menggalakkan amalan murid minum susu penuh krim, mampu menyumbang kepada kesihatan dan tumbesaran yang baik. Anak-anak yang cukup zat seimbang ini akan menjadi insan yang cerdas, aktif dan kreatif dan membawa kesan yang positif kepada kemenjadian murid sebagai aset negara yang berharga.
“Saya percaya, generasi yang sihat, cergas dan berilmu, memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara, terutama sekali di negeri ini”, tambahnya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles