GRS terus perjuangkan pelaksanaan hak dan kepentingan Sabah dalam perlembagaan persekutuan dan MA63

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus perjuangkan, bukan sekadar pelaksanaan keseluruhan hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, ini penting kerana kita perlu membina pemahaman dan membentuk penerimaan para penggubal dan pelaksana dasar di peringkat persekutuan mengenai MA63.
Justeru itu katanya, semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Kuching, Sarawak pada 20 Januari 2023 lalu, beliau bertegas membawa beberapa isu untuk dibincang.
“Isu seperti rundingan susulan berkaitan formula dan semakan Pemberian Khas serta tuntutan 40% dibawah Perkara 112.D dapat disegerakan”.
“Juga Hak Negeri Atas Pelantar Benua dan Akta Laut Wilayah 2012 yang Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian untuk menolak, yang membatas sempadan Sabah kepada 3 batu Nautika”, katanya.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Parti Maju Sabah (SAPP) Ke-29 di Dewan Hakka, hari ini.
Hajiji berkata, banyak lagi yang boleh dicapai andai kita mempunyai hala tuju yang sama dan bersatu dalam usaha kita.
“Tujuan utama kita dan teras perjuangan telah meletakkan hak serta kepentingan Sabah sebagai keutamaan perjuangan, dan melonjakkan status Sabah pada kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan”.
“Teras Sabah Diutamakan menjadi pegangan kita dalam menyusul dengan teliti setiap perkara dalam siri perundingan yang sedang rancak berjalan di bawah MA63”, tegasnya.
Hajiji berkata, GRS yang lahir hasil permuafakatan parti-parti politik, atas tekad menghormati mandat rakyat, akan meneruskan komitmen melaksanakan Agenda Sayangi Sabah yang termaktub dalam Aku Janji GRS.
Katanya, pelaksanaan agenda Sayangi Sabah akan terus diperkukuhkan melalui empat teras perjuangan GRS yang meliputi –Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).
Menurutnya, beberapa kejayaan sudah kita capai termasuk yang terbaharu ialah penyerahan kuasa kawal selia gas oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri.
“Ini termasuk penyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak, manakala banyak lagi hak-hak Sabah yang sedang kita perjuangkan ketika ini”, tambahnya.
Hajiji yakin, pendekatan baharu Malaysia Madani sebagai kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur berupaya menangani isu-isu legasi yang melingkari hubungan negeri dan persekutuan.
“Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai salah satu agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia. Saya berasa gembira apabila dalam beberapa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau memberi jaminan untuk meneliti semua isu-isu ini untuk mencari penyelesaian segera”, tegasnya.
Hajiji berkata, sejarah panjang politik Sabah sewajarnya membawa teladan dan menginsafkan semua untuk bangkit memperbaiki keadaan dengan strategi baharu.
“Marilah kita mengamalkan politik pembangunan yang lebih bermakna dan mempunyai nilai demi membina solidariti dan kesatuan rakyat. Prinsip ini mengajak kita mencari titik persamaan untuk permuafakatan yang menyatukan, bukan perbezaan dan persaingan yang memecahkan”, tambahnya.
Sehubungan itu beliau meminta semua barisan pimpinan SAPP dan GRS agar terus bersama, sehati merintis dan membina landasan perpaduan.
“Kita kuat apabila kita bersatu dan saya yakin kita Boleh! Permuafakatan ini amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia”, ujarnya.
Menyentuh rombakan Kabinet Negeri baru-baru ini, Hajiji berkata, ia bertujuan mengukuhkan Kerajaan Negeri.
“Saya telah menekankan keperluan untuk membentuk satu pentadbiran yang inklusif di negeri ini sejajar dengan hasrat saya yang mahu supaya kerajaan negeri yang saya pimpin ini dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati”.
“Kerajaan Negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat”.
“Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini. Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat”, tegasnya.
Hajiji berkata, setelah melalui pelbagai suka duka, pahit manis dan liku-liku perjuangan, hari ini SAPP dibawah pimpinan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee masih utuh dan kekal relevan.
Beliau turut memuji usaha SAPP yang terus memperjuangkan dan membangkitkan segala isu yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini.
Katanya, sesungguhnya perjuangan SAPP demi kepentingan rakyat dan negeri ini, seiring dengan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri hari ini.
Sebagai Ketua Menteri, beliau mengambil penuh perhatian terhadap beberapa isu yang dibangkitkan oleh Yong.
“Semoga SAPP akan terus bersama kerajaan untuk membawa Sabah terus maju ke hadapan. Syabas dan terima kasih kepada Yong dan SAPP yang terus berjuang demi Sabah Maju Jaya”.
“Sebagai salah satu komponen dalam Parti GRS dan Kerajaan Negeri, kesatuan dan sokongan SAPP adalah amat penting untuk meneruskan perjuangan membangunkan serta membela kepentingan rakyat dan negeri”, tambahnya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles