KKR Sabah sambut baik penurunan kuasa melulus projek sehingga RM50 juta kepada Sabah, Sarawak

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Advertisements

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah mengalu-alukan keputusan kerajaan persekutuan menyerahkan kuasa melulus projek pembangunan bernilai hingga RM50 juta kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai langkah positif yang dapat mempercepatkan program pembangunan Sabah.

Katanya, perkara itu memang sudah lama dinantikan bagi memastikan kerajaan Sabah dapat memutuskan sendiri projek pembangunan tidak melebihi RM50 juta yang perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Saya amat mengalu-alukan kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi kuasa kepada kerajaan negeri Sabah menentukan program pembangunan bagi projek bernilai sehingga RM50 juta.

“Ini bermakna kerajaan persekutuan menyerahkan mandat penuh kepada kerajaan negeri untuk menentukan projek pembangunan yang akan dilaksanakannya sendiri.

“Kita sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan atas keputusan yang dibuat berhubung perkara ini. Ia mejunjukkan Perdana Menteri memahami kehendak rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat jemaah Kabinet persekutuan dipengerusikan Anwar hari ini yang antara lain meluluskan berhubung perkara berkenaan.

Dalam sidang medianya selepas mesyuarat berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata pemberian kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak itu bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus di peringkat Persekutuan.

Katanya, keputusan Kabinet itu selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan projek yang tertangguh disebabkan keputusan berkaitan perlu dibuat agensi Persekutuan, dapat dilaksanakan dengan segera.

Anwar berkata, pelaksanaannya dibuat dengan mematuhi peraturan kewangan sedia ada tetapi keputusan boleh dibuat kerajaan negeri di Kuching atau Kota Kinabalu berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, turut berharap agar kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan peruntukan untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan pelaksanaannya dipercepatkan.

“Sehubungan dengan ini saya yakin YAB Perdana Menteri akan sentiasa melihat Wilayah Sabah sebagai sebuah wilayah yang penting untuk dibangunkan secara menyeluruh,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles