Belia digesa kuasai ilmu keusahawanan – Ellron

SOOK: Golongan belia khususnya ahli Trusmadi Motor Rider (TMR) digesa untuk menguasai ilmu keusahawanan serta perniagaan.

Advertisements

Menteri Belia dan Sukan Sabah
Datuk Ellron Angin berkata ini
penting bagi memastikan mereka tidak hanya bergantung kepada sektor pekerjaan semata-mata untuk menyara hidup.

“Sebab itu, kami amat mengalu-alukan mana-mana persatuan yang ingin didedahkan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan memandangkan sektor ini amat penting terutamanya dalam kalangan belia,” katanya.

Ellron berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Myfit@Motor Sport Peringkat Negeri Sabah di TMR Amban Resort Kampung Kuit Lanas, Sook baru-baru ini.

Beliau berkata selaku menteri yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga kepentingan belia, pihaknya sentiasa berlapang dada untuk membantu mana-mana persatuan yang menginginkan ahlinya dilengkapi dengan ilmu perniagaan dan keusahawanan.

Mengulas cadangan Presiden TMR Tuan Aziri Osman untuk menjadikan TMR Amban Resort sebagai salah satu produk pelancongan, Adun Sook itu berkata ia
merupakan langkah terbaik dalam merancakkan lagi sektor pelancongan di kawasan Sook.

Bagaimanapun, beliau menyarankan “sebelum meneruskan niat tersebut” pihak TMR perlu merujuk dengan pihak Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah(KEPKAS) untuk meminta khidmat nasihat dan cadangan.

“Saya melihat TMR Amban Resort mempunyai potensi yang baik untuk dijadikan pusat pelancongan, namun begitu saya menyarankan agar pihak TMR merujuk kepada KEPKAS terlebih dahulu, kerana mereka merupakan satu badan pakar rujuk yang boleh memberikan cadangan bernas bagi pihak yang ingin berkecimpung dalam bidang pelancongan,” katanya.

Program Myfit@Motor Sport Peringkat Negeri Sabah anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Trusmadi Motor Ride dan KRT Kg. Kuit Lanas itu berlangsung selama dua hari bermula pada 19 Disember dan berakhir 20 Disember.

Antara tujuan program yang disertai oleh 50 orang peserta itu ialah memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai sukan bermotor dan tatacara pemanduan selamat dan berhemah.

Selain itu, katanya ia bermatlamat menarik minat warga belia menceburi bidang sukan bermotor, sekali gus mengelakkan mereka terjebak dalam gejala sosial yang kurang sihat.

Turut hadir Datuk Flovia Ng ADUN Tulid merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Pegawai Kanan JPJ Keningau Tuan Ridwan Radzi, Ketua Daerah Sook Tuan Risi Raimon, warga UPPM Sook dan Tulid, serta pemimpin-pemimpin kampung dan warga setempat

Related Articles

253FansLike

Latest Articles