Tiada yang mustahil sekiranya berusaha: Graduan OKU

Oleh: Baby Nur Izzah Syahirah

Advertisements

KOTA KINABALU: Tiada yang mustahil apabila keyakinan dan azam dalam menuntut ilmu menjadi pembakar semangat bagi graduan kelainan upaya (OKU) fizikal, Fa’iz Mostal, 23, untuk berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Fa’iz yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Seni Muzik) Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) berkata, beliau sendiri tidak menyangka dapat bergraduasi pada tahun ini kerana banyak halangan yang dihadapi sepanjang pengajian.
“Major atau instrumen utama yang saya pilih ialah alat muzik seruling bambu dan moden.
“Namun, disebabkan fizikal saya seperti ini, awalnya pelbagai pihak tidak yakin jika saya boleh menguasai alat ini tetapi dengan latihan yang banyak, saya akhirnya boleh bermain flute dengan lancar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UMS ke-24.
Anak sulung daripada empat beradik itu turut berkongsi mengenai kekurangan diri yang pada mulanya dilahirkan secara normal.
“Pada ketika saya berusia dua tahun, muka saya terhempas di lantai apabila terjatuh dari baby walker dan menyebabkan saluran darah tersumbat.
“Sejak itu, muka saya jadi teruk. Sekarang ini saya masih menerima rawatan di klinik sekitar Kota Kinabalu untuk bahagian tulang, pendengaran, dan penglihatan,” ujarnya.
Fa’iz menambah, kedua orang tua memainkan watak penting dalam hidupnya yang sentiasa menyokong dan banyak membantu termasuk memberi kata-kata semangat dan motivasi.
“Keluarga terutama kedua ibu dan bapa menyokong saya tanpa putus-putus sehingga hari ini.
“Sebagai anak sulung, mereka berpesan untuk tamatkan pengajian dan jadi contoh kepada adik-adik.
“Kita buktikan walaupun mempunyai kelainan fizikal tetapi itu tidak menghalang untuk berjaya,” tambahnya yang berasal dari Pitas.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles