LAHAD DATU: Pasukan keselamatan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Bersepadu di sini pada Jumaat dan Sabtu.
Dalam satu kenyataan, Komander ESSCOM, DCP Datuk Hamzah Haji Ahmad berkata operasi bersepadu yang dilancarkan susulan kejayaan operasi yang dijalankan pada 1-6 Disember lepas bertujuan mengekang anasir tidak sihat dan jenayah rentas sempadan.
Menurutnya kesemua PATI itu ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pendaftaran Negara 1959 sebelum diusir pulang ke negara asal.
Operasi Bersepadu itu disertai pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk Polis Diraja Malaysia Daerah Lahad Datu, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, RELA dan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kekuatan seramai 80 orang anggota.
Hamzah berkata ESSCOM berazam untuk mellipatgandakan usaha bagi memastikan persekitaran sejagat terus terjamin dan selamat demi kepentingan pembangunan sosio ekonomi sekitar pusat operasi.
“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di Pantai Timur Sabah,” katanya.