Oleh: Anis Balqis Mohamad Azmi (Pelajar Komunikasi FSSK)
KOTA KINABALU: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-24 turut diserikan dengan kehadiran graduan bersama keluarga yang memperagakan busana tradisi unik dan menarik.
Bagi graduan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Roslind Henry, 23, beliau dan keluarganya hadir memakai pakaian tradisi kaum Iban bermotifkan corak ‘Pua Kumbu’.
“Kami memilih mengenakan pakaian baju tradisi ini sebagai satu kebanggaan dan bagi memperlihatkan keunikan pakaian tradisi kaum Iban, Sarawak kepada masyarakat umum.
“Motif corak ‘Pua Kumbu’ ini merupakan corak paling lama berasal dari nenek moyang kami,” katanya ketika ditemui media.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual dengan Kepujian itu memaklumkan, pakaian tradisi itu juga dipakai untuk keseragaman semasa sesi gambar kenangan bersama keluarga.
“Warna asal pakaian ini sebenarnya adalah berwarna merah, namun keluarga saya telah memodenkan pakaian tersebut kepada warna kuning.
“Warna kuning dipilih kerana ia melambangkan warna kemenangan,” jelasnya.
Untuk rekod, Roslind merupakan antara 4,298 graduan yang diraikan di pentas Dewan Canselor sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-24.