PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Menteri Sabah
merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin melakukan kunjungan hormat ke atas
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di sini hari ini.
Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah bekas Ketua Menteri Sabah yang juga ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Timbalan Pengerusi, JUARA UMNO
Sabah Datuk Mohd Rafi Ali Hasan.
Pada 24 Nov lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh.
Anwar merupakan ahli politik Malaysia yang telah menjadi ketua pembangkang ke-12 dan ke-16, pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau telah bertugas sebagai ahli parlimen Port Dickson dari Oktober 2018 hingga November 2022 dan Permatang Pauh dari Mac 1982 hingga April 1999 dan sekali lagi dari Ogos 2008 hingga Mac 2015.
Anwar juga pernah menjadi timbalan perdana menteri Malaysia dan memegang beberapa jawatan kabinet dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah perdana menteri terdahulu, Tun Mahathir Mohamad dari 1982 hingga 1998.