KOTA BELUD: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengajak rakyat supaya bersatu padu bagi membantu menjayakan misi Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperbaiki ekonomi rakyat dan negara.
Beliau berkata perpaduan itu penting bagi memastikan negara ini keluar daripada permasalahan ekonomi.
“Malaysia baru sahaja selesai mengadakan pilihan raya umum. Kita ada kerajaan baharu dan kita ada Perdana Menteri yang baharu iaitu YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai kerajaan Perpaduan.
“Kerajaan Perpaduan ini melibatkan semua ralyat, semua bangsa dan kaum daripada semua wilayah agar tumpuan diberikan kepada soal ekonomi dan kurangkan politik agar kita keluar daripada permasalahan ekonomi,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJK (C) Chung Hwa Kota Belud semalam.
Beliau berkata jika ada perbezaan fahaman politik yang telah dilalui “kita urus dengan sebaiknya dan bukan bermain politik 24 jam”.
Salleh berkata rakyat negara ini perlu melangkah ke hadapan kerana banyak cabaran yang bakal ditempuhi.
“Kita di Kota Belud ini tidak mahu ketinggalan, kita perlu merancang pembangunan dan ekonomi Kota Belud,” katanya.
Oleh itu, Salleh menyeru rakyat Kota Belud supaya mengutamakan perpaduan demi kebaikan bersama.