TENOM: Walaupun baru setahun jagung dalam bidang politik, Riduan Rubin mampu mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Tenom yang baharu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) Sabtu lalu.
Bertanding atas tiket bebas dengan menggunakan lambang Gajah, Riduan muncul sebagai “giant killer” apabila menewaskan penyandang Parlimen Tenom, Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), calon Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar, calon Parti Warisan, Ukim Buandi dan seorang lagi calon Bebas, Peggy Chaw Zhi Thing.
Riduan menang dengan majoriti 1,108 undi apabila memperolehi sebanyak10,027 undi, menewaskan Noorita yang memperolehi 8,919, Jamawi ( 8,625 undi), Ukim (992 undi) dan Peggy Chaw (86 undi).
Sebelum menawarkan diri bertanding atas tiket bebas, Riduan merupakan Ketua Armada BERSATU Bahagian Tenom. Bapanya, Datuk Rubin Balang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong merupakan Ketua Bahagian BERSATU Tenom.
Beliau meletak jawatan sebelum penamaan calon bagi mengambil bahagian dalam PRU15 dan beberapa hari selepas itu beliau dipelawa menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) oleh Presidennya, Datuk Peter Anthony.
Melihat kepada senario politik di Parlimen P.181 Tenom, kerusi tradisi BN yang kemudiannya bertukar tangan kepada PH pada 2018 lalu akhirnya memperlihatkan kematangan pengundi di daerah tersebut, terutamanya golongan muda.
“Saya amat bersyukur atas keputusan ini dan berterima kasih kepada semua pengundi, keluarga serta jentera yang bertungkus lumus membantu sepanjang tempoh berkempen ini.
“Kita berjanji akan menjaga Parlimen Tenom sebaik mungkin dan menunaikan manifesto yang telah dijanjikan.
“Apa yang penting, tempoh berpolitik sudah habis dan kini sudah sampai waktunya untuk berkerja, “katanya ketika ditemui.
Menurut Riduan, adalah menjadi hasrat pihaknya selaku Ahli Parlimen Tenom untuk melihat kawasan parlimen itu terus menerima impak pembangunan mapan, lebih-lebih lagi dengan keadaan geografinya yang berhampiran dengan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.
“Jarak kawasan parlimen ini dengan ibu negara baharu Indonesia amat berdekatan dan saya kira ia akan membawakan limpahan ekonomi yang cepat kepada Tenom.
“Ia sekaligus bertepatan dengan misi saya sebelum ini untuk meningkatkan ekonomi setempat dan seiring dengan senario semasa pembangunan di Nusantara, Indonesia, tidak lama lagi, “katanya.