Kenyataan Setiausaha Agung PN Pramatang, mustahil, tidak konklusif

70

Oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR: Merujuk kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Dato’ Seri Hamzah Zainudin bahawa Perikatan Nasional telah mempunyai jumlah Surat Akuan melebihi 112, kami mengambil pendirian berdasarkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa sebarang akuan berkanun yang lain, atau sebarang rundingan dengan parti-parti lain oleh mana- mana Ahli Parlimen UMNO adalah tidak sah dan tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokongan majoriti kepada mana-mana calon Perdana Menteri. Ia jugak boleh menyebabkan mereka hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun yang telah mereka tandatangani.
Pakatan Harapan telah memasuki fasa rundingan yang serius dengan Barisan Nasional. Rundingan tersebut telah membincangkan perkara-perkara utama yang menyentuh tentang kestabilan politik dan pemulihan ekonomi, dengan meletakkan kepentingan Rakyat dan Negara sebagai keutamaan.
Hasil perbincangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama, kami mengambil maklum penafian Dato’ Seri Hishammuddin Hussein bahawa satu kenyataan media yang tular menyatakan 10 Ahli Parlimen UMNO menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak benar.
Oleh yang demikian, Pakatan Harapan berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional itu adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif berkait angka sokongan majoriti yang didakwa telah mereka capai.