Ewon bidas Muhyiddin dan Shafie, seru rakyat ubah kerajaan

PENAMPANG: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick membidas mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin yang mengeluarkan kenyataan berbaur keagamaan dengan dakwaan-dakwaan tidak berasas.

Advertisements

Beliau juga menggesa rakyat Sabah untuk menolak pemimpin dan parti-parti milik pemimpin yang memainkan sentimen perkauman, keagamaan dan menghina kaum yang lain.

“Saya melihat video yang tular mengandungi ucapan Muhyiddin yang mendakwa Pakatan Harapan ditaja oleh Yahudi dan beliau juga mendakwa ada agenda Kristianisasi di Malaysia.

“Saya sangat mengkritik kenyataan beliau yang tidak berasas sama sekali. Beliau sengaja mencetuskan sentimen perkauman dengan mengujudkan kebencian terhadap penganut agama Kristian di negara kita.

“Di Sabah, dan di Penampang terutamanya, kita mesti menolak pemimpin dan parti milik pemimpin seperti ini. Muhyiddin merupakan Pengerusi Perikatan Nasional, dia merupakan Presiden parti PPBM yang bertanding dalam pilihanraya umum ini. GRS mengandungi parti Muhyiddin, iaitu PPBM yang bertanding di Sabah termasuk di Penampang.

“Adakah rakyat Penampang mahu pemimpin seperti ini menjadi Perdana Menteri atau menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan Malaysia? Sudah semestinya tidak! Ini sebab kita mahu menolak pemimpin seperti ini dan parti-parti milik pemimpin seperti ini,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam ucapan video yang dikongsikan dalam laman tik tok beliau.

Terdahulu Ewon menghadiri upacara doa Holy Rosari bersama jemaat Katolik Penampang dan seterusnya doa bersama jemaat SIB Penampang yang diadakan khusus untuk beliau sebagai calon Pakatan Harapan di Penampang.

Dalam video tersebut, Ewon turut membidas mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Shafie Apdal yang telah mengeluarkan ucapan berbaur penghinaan kepada masyarakat Cina dan Tionghua semasa berucap dalam kempen pilihanraya parti Warisan di Tenom pada baru-baru ini.

“Beberapa yang lepas juga, di Tenom, mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Shafie Apdal juga membuat kenyataan yang menghina masyarakat Tionghua, masyarakat Cina di Sabah, (kenyataan) yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang mantan Ketua Menteri.

“Kita kena tolak kepimpinan lama yang mempunyai DNA UMNO. Hari ini (Shafie) mahu bercakap tentang perpaduan (unity) di Malaysia tetapi dalam pilihanraya ini memperkecilkan dan menghina masyarakat Cina.

“Sebagai anak muda, saya sangat kesal dengan sikap, kenyataan dan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin seperti ini. Saya mengajak semua anak muda dan rakyat Penampang serta rakyat Sabah untuk kita menolak pemimpin-pemimpin dan parti-parti milik pemimpin-pemimpin ini yang bertanding di dalam pilihanraya ini.

“Itulah sebabnya saya bertanding mewakili Pakatan Harapan di Penampang mengubah semua ini. Mari kita ubah kepimpinan ini, ubah kerajaan ini supaya kita mempunyai masa depan dan kerajaan yang lebih baik daripada yang kita lihat selama ini yang sudah hancur dan rosak.

“Itu sebabnya kita mahu memilih sebuah kerajaan baharu yang menawarkan kestabilan politik, kestabilan politik dan keharmonian kaum kerana Pakatan Harapan mengandungi parti-parti politik berbilang kaum seperti PKR, DAP, UPKO dan Amanah.

“Kita bersama pastinya boleh mengubah ini, dan 19 haribulan, hari besok adalah peluang kita mengubah semua ini. Beri sokongan, beri restu, beri doa kepada Pakatan Harapan dan semua calon Pakatan Harapan supaya kita boleh memperbaiki kerosakan yang telah ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin lama di Malaysia ini. Kita ubah ini dengan mengundi kepada Pakatan Harapan agar dapat membuktikan kerajaan Pakatan Harapan lebih baik daripada mereka,” katanya.

Ewon yang bertanding mewakili Pakatan Harapan di Parlimen Penampang berhadapan dengan calon GRS Kenny Chua, Warisan Datuk Darell Leiking dan calon bebas Richard Jimmy.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles