Ewon tetap jalankan amanah sebagai ADUN Kadamaian biarpun sibuk berkempen di Penampang

 

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick terus menjalankan tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat Kadamaian walaupun sibuk berkempen sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Penampang.

Advertisements

Ewon mengadakan kunjungan ke Kg Sumbilingon dan Kg Kelawat Pekan pada pagi Isnin dan membantu menyelesaikan beberapa permasalahan rakyat terkait dengan keperluan kebajikan dan infra kecil kampung.

Beliau mengunjungi bangunan rumah tamu Kg Sumbilingon yang dibina beliau sebagai Wakil Rakyat Kadamaian yang menyediakan kemudahan berniaga kepada ibu-ibu di kampung tersebut dan juga mengunjungi peniaga-peniaga Tamu Minggu Kg Sumbilingon yang sebelum ini turut menerima peruntukan baikpulih daripada Ewon.

“Saya gembira kerana para peniaga khususnya ibu-ibu di kampung ini mendapat manfaat daripada usaha dan inisiatif kita menyediakan kemudahan seperti ini sebelum ini. Pada hari ini, saya menerima cadangan agar kemudahan tambahan rumah tamu kerana beberapa lagi ibu-ibu di sini mahu berniaga. Ini akan terus menjadi tanggungjawab saya,” katanya.

Ewon turut menyantuni beberapa penduduk yang mengemukakan surat-surat aduan dan permohonan agar keperluan kebajikan mereka dapat dibela dan dibantu.

Ewon turut diberikan taklimat berkenaan dengan kerja-kerja tebus guna semula kawasan tanah gereja Katolik Kg Pompod yang kerap ditenggelami banjir.

“Saya telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 seperti yang diperlukan oleh Gereja Katolik Kg Pompod pada dua bulan lepas untuk menimbus kawasan gereja bagi mengelakkan limpahan air banjir memasuki bangunan gereja. Saya dimaklumkan oleh pihak gereja hari ini bahawa mereka telah menyediakan kelengkapan berkaitan dan akan menimbus tanah selepas keadaan cuaca kembali cerah.

“Saya akan terus melaksanakan amanah sebagai ADUN Kadamaian sekalipun bertanding di Parlimen Penampang. Saya sudah cukup bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik sebagai ADUN Kadamaian dan sebagai Ahli Parlimen pada masa yang sama.

“Pagi saya boleh berkhidmat di Kadamaian, petang saya boleh berkhidmat di Penampang seperti yang saya lakukan pada hari ini. Saya mengambil serius tanggungjawab dan amanah sebagai Wakil Rakyat yang mesti turun padang,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan Ewon di kampung-kampung tersebut ialah calon Pakatan Harapan di Parlimen Kota Belud Modily Bangaly.

Sementara itu, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan Dr Edwin Bosi mengisytiharkan sokongan beliau kepada calon PH Penampang menjadi Ahli Parlimen Penampang yang baharu.

Beliau turut menyatakan bahawa politik dua sistem di Malaysia hanya memperlihatkan persaingan di antara PH dan Barisan Nasional (BN).

“Dalam konteks sistem dua parti di Malaysia, saya menyokong PH. Kita juga memerlukan seorang Ahli Parlimen yang berkesan dalam menjalankan amanah terutamanya turun padang berjumpa dengan rakyat.

“Itu sebabnya saya hadir memberi sokongan kepada calon PH di Penampang, Ewon Benedick. Saya berharap rakyat Penampang memberi sokongan kepada beliau agar dapat membuktikan perkhidmatan dan kepimpinan beliau untuk rakyat Penampang,” katanya.

Bosi menyatakan demikian di Dewan Kg Moyog semasa program jelajah kempen oleh Ewon bersama dengan penduduk-penduduk di sekitar Mukim Moyog, Penampang.

Turut hadir bersama dalam jelajah tersebut ialah dua orang lagi mantan Wakil Rakyat Penampang, Datuk Philip Lasimbang dan Datuk Donad Mojuntin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles