GRS Akan Ambil Tindakan Terhadap Rubin Jika Terbukti Berkempen Untuk Calon Bebas

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang sekiranya terbukti beliau terlibat secara langsung berkempen untuk anaknya, Riduan Rubin.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, beliau masih menunggu laporan berhubung dakwaan penglibatan Rubin menyokong dan membantu kempen Riduan yang bertanding atas tiket bebas.
“Kita tengok dulu, kalau dia terlibat secara langsung, kita boleh ambil tindakan. Tetapi pertama saya kena minta laporan dulu, walaupun kita nampak dia bersama anaknya dalam gambar, dia bukan berkempen dan sebagainya”.
“Kita perlu adil kepada semua. Kita tengok dulu laporan apa yang berlaku. Kalau hanya berdasarkan gambar beliau duduk dengan anaknya, kita tidak boleh ambil tindakan”.
“Tetapi kalau betul dia (Rubin) menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil tindakan”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Joseph, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin agar tindakan disiplin diambil terhadap Rubin yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU15).
Bung kelmarin mendakwa pembabitan Rubin selaku wakil rakyat GRS, menjadi dalang dalam penyertaan Riduan ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Hajiji berkata, Rubin merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tenom.
Sementara itu katanya, Riduan telah meletak jawatan dari BERSATU sebelum hari penamaan calon dan berdasarkan peraturan parti tiada tindakan yang boleh diambil terhadapnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji menekankan penting aspek pendidik yang menjadi salah satu agenda penting dalam gagasan dan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk rakyat dan negeri Sabah.
Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200 ribu kepada SMK St. Joseph bagi membeli peralatan dan perkakas sekolah.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles