MEMBAKUT: Kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat, tidak akan bertahan lama seperti Parti Warisan (Warisan), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata pemerintahan Warisan sebelum ini bukan berdasarkan mandat rakyat tetapi disebabkan ada wakil rakyat yang melompat hingga menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu jatuh.
“Selepas kira-kira dua tahun memerintah, Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kerana Shafie Apdal (Datuk) terpaksa membubarkan kerajaan disebabkan hilang sokongan. Inilah bezanya parti yang mendapat mandat selepas wakil rakyat melompat dengan parti yang mendapat mandat rakyat seperti GRS-BN.
“Kerajaan Warisan memerintah bukan sebab mandat rakyat tetapi ada wakil rakyat terutama UPKO yang melompat ke Warisan. Keadaan itu menyebabkan kerajaan BN jatuh. Tuhan itu adil, kerajaan yang tidak mendapat mandat, tidak mampu bertahan lama.
“Wakil rakyat yang menyokong Warisan keluar beramai-ramai hingga menyebabkan PRN terpaksa diadakan,” katanya pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, Membakut, di sini malam tadi.
Yang turut hadir Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah; calon BN di Kimanis, Datuk Mohamad Alamin; Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelaran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, muafakat dan kerjasama antara GRS dan BN pada PRN itu akhirnya berjaya dan mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri.
“Justeru, kejayaan muafakat GRS-BN di peringkat negeri dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lalu, akan diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini. Pilihan raya umum kali ini penting untuk menentukan kerajaan di peringkat Persekutuan. Majlis malam ini membuktikan GRS dan BN terus bersama-sama dalam satu perjuangan.
“Jadi, sekarang kita sama-sama bersatu hati untuk menghadapi PRU15.Kita mahu satu kestabilan politik yang kuat. kita sdh mengalami pelbagai rencah politik dalam masa lima tahun ini,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Hajiji mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak mudah terpengaruh dengan cakap dan janji pihak pembangkang dalam PRU15 ini, .sebaliiknya terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada calon BN Parlimen Kimanis sekali gus memastikan kejayaan cemerlangnya pada 19 November ini.
“Sudah pasti apabila calon GRS-BN di Kimanis menang pada PRU15 ini, beliau (Mohamad) pasti akan dilantik menjadi timbalan menteri atau menteri penuh. Pemimpin seperti ini yang seharusnya menjadi pilihan dan bukannya mereka yang hanya lebih banyak bercakap dan menabur janji.
“GRS akan terus memberi sokongan kepada BN. Kita (GRS) tidak cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri seperti pihak lain. Baru-baru ini Azis Jaman (Datuk-calon Warisan di Sepanggar) cakap kenapa hanya jawatan TPM (Timbalan Perdana Menteri) kenapa tidak PM (Perdana Menteri). Macam mana mahu jadi PM, sedangkan di Sabah pun mereka kalah.
“Dua tahun menjadi kerajaan negeri, hala tuju pun tiada melainkan fitnah sana-sini. Apa yang mereka banggakan?. Mereka bangga dapat menubuhkan syarikat minyak masak, tetapi tidak pernah untung, inilah Warisan. Akhirnya kerajaan GRS-BN hari ini juga yang berusaha untuk memastikan minyak masak itu untung. Malah kita berjaya lagi mengeluarkan satu lagi minyak masak dikenali sebagai Sayang,” katanya.
Sambil menjelaskan jarang bercakap soal politik di mana-mana media massa, beliau berkata bagaimanapun pada musim PRU ini, banyak perkara perlu dikongsi bersama rakyat terutama berkaitan pencapaian yang dilakar kerajaan negeri.
“Saya kena bercakap apa yang sudah, sedang dan akan kerajaan negeri laksanakan serta pencapaian kita selama dua tahun memerintah hingga mampu memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion pada tahun lalu. Kejayaan yang tidak pernah dicapai sebelum ini.
“Walaupun kita berdepan pandemik COVID-19 pada awal pemerintahan, ia tidak menghalang kerajaan GRS-BN terus mengorak langkah dan mengatur strategi memulihkan ekonomi. Kita atur kerajaan sebaik-baiknya. Justeru, pada tahun ini kita dijangka akan mengutip lebih besar lagi iaitu RM6 bilion.
“Berbeza dengan pihak pembangkang, Datuk Shafie (Datuk Shafie Apdal).K etika memerintah dulu, Sabah pun tidak terurus dengan baik,” katanya sambil meminta rakyat jangan terlampau percaya dengan cakap dan janji Warisan.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan bahawa kerajaan sudah meluluskan untuk menjadikan daerah kecil Membakut sebagai daerah penuh.
Kerajaan yang tidak mendapat mandat tidak akan bertahan
Advertisements