SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegur pemimpin dan jentera agar jangan bertelagah sesama sendiri, sebaliknya mengeratkan perpaduan.
Beliau mahu persengketaan yang lepas diselesaikan segera dan kemudian maju ke depan mengadakan perbincangan demi kebaikan rakyat.
“Kaedah terbaik ialah wujudkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ahli”, katanya semasa bertemu jentera PDM Gum-Gum, petang tadi.
Suhaimi berkata BN perlu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kesinambungan pembangunan dari pelbagai aspek termasuk masyarakat, belia dan modal insan.
Dan, beliau mengakui kawasan Libaran sendiri masih dahagakan pembangunan supaya sama membangun seperti kawasan lain di Sabah.
“Saya bersedia membawa lebih banyak pembangunan yang diperlukan oleh rakyat di Libaran. Ini hanya akan dapat dicapai sekiranya rakyat memberi mandat kepada saya pada PRU-15.
“Kemenangan di Libaran akan menyumbang kepada kemenangan BN di peringkat persekutuan sekaligus membolehkan parti ini menerajui kerajaan,” jelasnya.