Pembinaan Surau As-Sakinah bakal manfaatkan ribuan penduduk Taman Airport

SANDAKAN : Pembinaan Surau As-Sakinah bakal memanfaatkan kira-kira 1,000 penduduk beragama Islam di Taman Airport, Batu 7.

Advertisements

Ketua Umno Bahagian Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, projek pembinaan surau bernilai RM355, 000 ini akan dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja berikutan peruntukan tersebut telahpun disalurkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan.

“Saya berharap pembinaan surau ini mampu mengembangkan lagi syiar Islam di Taman Airport dari masa ke semasa.

“Dalam pada itu, saya juga menyeru pengerusi dan ahli jawatankuasa Surau As-Sakinah untuk mencari inisiatif, memohon satu lokasi lebih luas dengan pemaju perumahan agar penaiktarafan surau kepada masjid dapat dilaksanakan seiring dengan pertambahan penduduk pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau berucap demikian semasa majlis pecah tanah pembinaan Surau As-Sakinah di Taman Airport pada Ahad pagi.

Turut hadir, adun Sungai Sibuga, Datuk Hamsan Awang Supain.

Suhaimi juga berkata pihaknya bersedia menyumbang untuk fasiliti surau As-Sakinah seperti penyediaan karpet, pembesar suara dan sebagainya.

Suhaimi yang juga calon P.184 Libaran berkata, selain pembinaan surau tersebut, pelbagai fasiliti awam di Parlimen Libaran akan diperbaiki terutamanya pasar awam Taman Fajar yang menjadi lokasi peniaga-peniaga Bumiputera.

Sementara itu, penduduk muslim Taman Airport yang diwakili oleh Pengerusi AJK Penaja Surau As-Sakinah, Mohd Hafiz Zuraimy Damsah berharap agar pembinaan surau Taman Airport ini dapat direalisasikan tahun ini setelah percubaan untuk memohonnya masuk kali ketiga.

“Sekiranya surau ini didirikan, penduduk Taman Airport tidak lagi ke Surau di PPR Taman , Masjid Taman Fajar atau Kem Tentera.

“Selain itu, kita juga akan pelbagaikan pengisian di surau ini kelak khususnya dalam konteks fardu ain dan fardu kifayah untuk kepentingan penduduk Taman Airport,” jelasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles