SANDAKAN: Usaha memberi kefahaman dan penjelasan tentang sistem demokrasi khasnya kepada golongan pengundi muda adalah satu usaha yang rumit dan perlu dilakukan sebaiknya.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata hal tersebut adalah sukar dilakukan dan memerlukan penjelasan serta huraian yang tepat, tentang keadaan sebenar.
“Saya berpandangan, bukan senang untuk kita mendedahkan dan menjelaskan tentang sistem demokrasi terutama kepada belia, pengundi muda khasnya mereka yang tergolong dalam pengundi pertama kali.
“Saya juga ingin kongsikan bahawa dunia realiti adalah berbeza daripada dunia alam maya, atau atas talian.
“Dunia realiti memerlukan kita untuk melihat ke bawah, mendalami apa situasi sebenar yang berlaku dan keadaan sekeliling,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir merasmikan Penutupan Majlis Perkhemahan Pelajar Tingkatan 6, SMK Elopura 2, di sini, pagi tadi.
Menurut Khairul Firdaus, realiti semasa memang mempamerkan bahawa banyak rakyat terutama golongan muda, tidak berminat dengan orang-orang politik.
“Mereka tidak minat dengan orang politik kerana orang politik kebanyakannya sinonim dengan persepsi negatif.
“Oleh sebab yang demikian, saya merasakan bahawa perlunya usaha untuk mengenali orang-orang politik ini secara realiti, berdasarkan tindakan, bukan sekadar mendengar kata-kata atau apa yang dipamerkan mereka di media sosial atau alam maya.
“Kita perlu lihat perkara sebenarnya dalam dunia politik, melalui tindakan yang benar-benar dilakukan oleh ahli politik itu sendiri, secara umum,” katanya lagi.
Tambah beliau, kunci kepada menjalani proses berpolitik yang baik oleh generasi muda adalah dengan kesepakatan dan memahami makna perpaduan.
“Kita lihat makin lama makin kurang nilai asas perpaduan difahami oleh anak muda kita kerana lebih banyak terdedah dengan kandungan semasa dari teknologi yang moden.
“Asas perpaduan dapat dipupuk dengan aktiviti seumpama ini, yang anak-anak muda dan belia-belia kita jalani, macam perkhemahan dan aktiviti persatuan di sekolah.
“Program sebeginilah yang mampu membawa kembali nilai asas perpaduan, nilai kemasyarakatan dan paling penting adalah perpaduan di kalangan kita semua yang hidup dalam masyarakat majmuk,” tambahnya.
Dalam pada itu, Khairul Firdaus turut mengulas tentang calon Parlimen Beluran yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Bagi saya itu tidak perlu dijadikan sebuah isu besar kerana tidak ada kesan yang besar.
“Kita tahu bahawa tidak ada pertindihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) dalam semua kerusi.
“Apabila ini tidak berlaku maknanya kesepakatan kerajaan negeri kekal utuh, kekal kuat dan kita hormati apa yang dilakukan oleh beliau (Ronald).
“Kita lihat dalam konteks yang besar, kedudukan kerajaan makin lama makin utuh sebab tidak ada perlanggaran kerusi,” ujar beliau.