Bung Moktar yakin pertahankan parlimen Kinabatangan

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Advertisements

KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan keyakinannya untuk sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan yang ditandinginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang berdepan persaingan satu lawan satu dengan calon Parti Warisan (WARISAN), Mazliwati Abdul Malek, berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan padu rakyat Kinabatangan terhadap BN.

Katanya, kerja keras jentera pilihan raya di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan UMNO di Parlimen Kinabatangan sejak awal dari sebelum pilihan raya lagi turut meyakinkannya akan membuahkan hasil yang positif pada 19 November ini.

“Hanya ada dua calon di Kinabatangan iaitu saya dan Mazliwati dari WARISAN tetapi saya yakin BN dapat mempertahankan kerusi ini sebab sambutan masyarakat yang kuat terhadap BN.

“Saya optimis dengan usaha jentera kita di semua PDM dan peringkat, saya cukup yakin kita dapat mempertahankan Kinabatangan,” katanya dalam satu kenyataan selepas penamaan calon PRU15, di sini, hari ini.

Kerusi Parlimen Kinabatangan adalah satu-satunya kawasan yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di Sabah pada PRU-15 berbanding antara tiga penjuru hingga enam penjuru di kawasan lain.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mempertahankan kerusi berkenaan yang disandangnya sejak 1999 dalam misi untuk menyumbang kemenangan kepada BN bagi membentuk kerajaan persekutuan yang lebih kuat dan stabil selepas PRU15.

Beliau bagaimanapun mengingatkan jentera BN supaya tidak leka atau lalai hanya kerana yakin mampu memenangi semula kerusi yang ditandinginya kerana bimbang ia boleh menjejaskan gerak kerja jentera parti.

Katanya, beliau juga sedar jentera parti lawan pasti bekerja keras untuk memenangkan calon mereka, lebih-lebih lagi calon lawan kali ini juga ada kaitan saudara dengannya.

“Semua jentera bagi parti yang bertanding ini adalah saudara, malah calon lawan ini, bapanya adalah pakcik saya juga.

“Namun, kita bertanding ini atas sebab demokrasi, kalau tidak kita tiada apa-apa persaingan kerana kita adalah bersaudara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jentera BN Kinabatangan juga disokong jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejajar kerjasama yang diwujudkan di antara kedua-dua gabungan berkenaan yang disifatkannya sebagai satu amanah.

Malah, katanya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Pengerusi GRS juga akan berkempen bersama BN bagi memastikan kemenangan kedua-dua gabungan berkenaan pada PRU15.

Mengenai manifesto khas BN untuk Sabah, Bung Moktar berkata ia akan dibentangkan selepas pembentangan manifesto BN Pusat.

Jelasnya, kandungan utama manifesto khas BN Sabah termasuk meminta peruntukan kerajaan Pusat disalurkan terus kepada kerajaan negeri agar dapat dibelanjakan dengan lebih berkesan berbanding melalui agensi kerajaan Pusat.

“Keduanya, kita juga akan memasukkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk Sabah seperti yang diumumkan sebelum ini kerana bagi kita ia penting untuk mengangkat nama Sabah dan melonjakkan pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.

Cadangan memasukkan jawatan TPM untuk Sabah disuarakan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada program Gelombang Biru BN Zon 3 Sabah di Kimanis, bulan lalu.

Cadangan itu disifatkan tidak mustahil untuk dilaksanakan jika BN mendapat majoriti besar atau menang dengan dominan pada PRU15 sejajar janji BN untuk mengotakan apa yang digariskan dalam manifestonya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles