KOTA KINABALU: Tiga tokoh Kiulu, termasuk seorang bekas Ratu Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri
bakal berantap di pentas politik bagi merebut kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mereka ialah Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai dan bekas ratu cantik Jo-anna Sue Henley Rampas.
Pencalonan ketiga-tiga tokoh itu sudah disahkan oleh pucuk pimpinan parti masing-masing.
Madius yang bertekad mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran kali ini akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) manakala Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS akan menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Jo-anna yang juga Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) pula akan menyarung jersi Warisan.
Pertarungan ketiga-tiga tokoh itu cukup menarik kerana mereka pernah bertembung dalam pentas lPilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Madius pernah bertarung dengan Joniston dalam PRN 2020 manakala Jo-anna pernah berantap dengan Joniston dalam PRN terdahulu yang menyaksikan keputusan kedua-dua PRN itu menyebelahi Joniston.
Apa yang menarik kali ini ialah ketiga-tiga mereka bertembung buat pertama kalinya dalam persaingan peringkat Parlimen.
Difahamkan parti Pejuang juga dijangka meletakkan calon selain beberapa calon bebas yang pastinya menambah kemeriahan dan kehangatan perebutan kerusi Parlimen Tuaran.
Pemerhati politik tempatan Mohd Zaki Harry Susanto berkata ketiga-tiga tokoh tersebut masing-masing berkebolehan dan berpengalaman.
Pemerhati politik tempatan Mohd Zaki Harry Susanto
“Saya melihat semua calon berpeluang untuk menang meskipun kelebihan kepada calon dari parti pemerintah.
“Berdasarkan pengamatan saya, masih ramai pengundi yang keliru dan menganggap pilihan raya umum ke-15 ini sama dengan pilihan raya negeri (PRN). Sebenarnya PRU15 dan PRN amat berbeza di mana dalam PRU15 pengundi memilih wakil ke Parlimen,” katanya kepada Jesselton Times.
Menurut Zaki, kemenangan dua atau tiga kerusi Parlimen sahaja belum cukup untuk membentuk secara sendirian kerajaan Persekutuan.
“Ini bermakna wakil Parlimen yang menang masih perlu “bergabung” dengan mana-mana parti Malaya termasuk UMNO/BN, PN dan PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan…jadi isu sokong parti Malaya sepatutnya tidak timbul atau dipolitikkan,” katanya,
Zaki berharap rakyat Sabah, terutama pengundi muda tidak mensia-siakan peluang keemasan PRU15 untuk memilih wakil rakyat ke Parlimen, sekali gus membantu menstabilkan keadaan politik dan ekonomi negara.