UMS beri komitmen penuh penganjuran Borneo Safari 2022

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi penglibatan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS4WDVC) akan memberikan komitmen penuh terhadap sukan permotoran lasak seperti penganjuran Borneo Safari International Off-Road Challenge 2022 kali ke-30.

Advertisements

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata UMS sentiasa menyokong penglibatan persatuan atau pertubuhan yang berdaftar dengan UMS membantu dan bekerjasama dengan penganjur dari luar.

“Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS sememangnya aktif membantu penganjur luar yang menganjurkan pertandingan, menyertai misi kemanusiaan serta menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memerlukan kenderaan pacuan empat untuk masuk ke kawasan pedalaman yang mempunyai akses jalan raya yang terhad.

“Selain itu, kelab ini juga berkolaborasi dengan fakulti dan jabatan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran ini akan dikongsikan dengan komuniti yang memerlukan,” katanya ketika ditemui semasa sesi pelepasan pasukan Medik UMS yang akan menyertai Borneo Safari 2022 yang berlangsung di lobi Bangunan Canselori baru-baru ini.

Tambah Datuk Kasim, pasukan Medik UMS dianggotai seramai 30 peserta yang terdiri daripada 3 doktor perubatan, 3 pembantu perubatan, 6 jururawat dan selebihnya pemandu, pembantu pemandu dan sukarelawan.

Beliau turut berpesan agar semua peserta Medik UMS menjaga keselamatan dan kesihatan diri sepanjang 8 hari bertugas di Borneo Safari.

Untuk rekod, UMS 4WDVC telah dijemput untuk menjadi pasukan perubatan rasmi Borneo Safari sejak tahun 2014 dan terlibat memberikan konsultasi perubatan dan memantau pertandingan Special Stage (SS) serta bertindak merawat sebarang kecederaan yang berlaku terhadap peserta semasa pertandingan tersebut berlangsung.

Pasukan Medik UMS akan diketuai oleh Profesor Dr. Shahril Yusof, Presiden UMS 4WDVC yang juga bertindak sebagai Event Doctor Borneo Safari 2022.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles